Search

Kerajaan akui sumbangan wartawan, bekerja tanpa kira waktu

June 14, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menyatakan sokongan berterusan terhadap industri media di Sabah melalui tajaan kewangan untuk penganjuran Kinabalu Press Awards (KPA).

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata sejak 2025, sumbangan tajaan untuk penganjuran KPA meningkat sebanyak RM110,000 berbanding RM100,000 pada 2024.

“Peningkatan sumbangan tajaan ini membuktikan bahawa kerajaan negeri sentiasa menghargai dan mengiktiraf sumbangan wartawan sekali gus menyokong segala usaha untuk kecemerlangan pengamal media di negeri ini.

“Oleh itu, kerajaan negeri akan terus memberi sokongan sebagai penaja utama untuk majlis ini. Kerajaan negeri terus menjadi penyumbang utama tajaan kepada Kinabalu Press Awards pada tahun ini,” katanya sempena Majlis Kinabalu Press Awards (KPA) 2026, di sini, pada Sabtu.

Ucapan beliau disampaikan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai.

Hajiji berkata, kerajaan negeri amat menghargai sumbangan wartawan sebagai rakan kongsi strategik dalam menyebarkan dasar dan kejayaan pembangunan kerajaan kepada rakyat.

“Pelaporan berita khususnya mengenai Dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) telah digalas dengan sebaiknya. Malah, pada saat-saat sebelum pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hinggalah berakhirnya Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) tahun lalu, pengamal media terlibat secara langsung khususnya dalam aspek pelaporan berita.

“Saya sendiri melihat secara dekat bagaimana pengamal media bekerja keras, bertugas lebih masa, mengejar berita dari pelbagai sudut dan memastikan setiap laporan yang disampaikan tepat serta berintegriti tinggi demi kepentingan rakyat.

“Sepanjang tempoh itu juga, saya dapat melihat pengamal media bekerja tanpa mengira waktu, termasuk berhujan dan berpanas bagi melaporkan setiap perkembangan semasa.

“Syabas dan tahniah sekali lagi kepada semua pengamal media atas komitmen dalam menjalankan tugas mereka,” katanya.

Beliau berkata, walaupun kepantasan berita menjadi keutamaan, ketepatan dan kesahihan fakta tidak boleh dikompromi.

“Justeru, saya ingin menyeru kepada semua pengamal media agar terus menjalankan tugas dengan penuh integriti, berlandaskan prinsip kewartawanan yang profesional dan bertanggungjawab.

“Pengamal media juga perlu sentiasa melaporkan berita yang tepat, telus, beretika dan tidak mudah terpengaruh dengan maklumat palsu,” katanya. – Info X