Search

Mayat lelaki hanyut ditemui selepas operasi SAR hari kedua

June 14, 2026

Info X Reporters

KOTA BELUD: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas dipercayai dihanyutkan arus sungai ketika mandi-manda di Kampung Tambatuon, Jalan Tamparuli – Ranau, di sini, ditemui meninggal dunia pagi tadi.

Mangsa, Abner Lasmel, 24, ditemui oleh orang awam kira-kira jam 7 pagi di kawasan sungai berkenaan selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) memasuki hari kedua.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Elgie Bakuk berkata, lokasi mangsa ditemui dianggarkan kira-kira 1.2 kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang.

Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia sebelum pasukan bomba bertindak mengangkat mayat menggunakan pengusung untuk diserahkan kepada polis bagi tindakan lanjut.

“Pasukan bomba bersama agensi berkaitan menjalankan operasi pencarian di sepanjang sungai sebelum mangsa ditemui oleh orang awam pada pagi ini.

“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis dan operasi SAR ditamatkan pada jam 10.20 pagi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Terdahulu, mangsa dilaporkan hilang selepas dipercayai dihanyutkan arus deras ketika mandi – manda di sungai Kampung Tambatuon, Jalan Tamparuli – Ranau, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, Abner dikatakan menjalankan aktiviti riadah bersama beberapa rakannya sebelum dihanyutkan arus sungai yang kuat dan hilang dari pandangan. – Info X