Search

Juragan terjun laut tinggalkan rokok seludup

June 14, 2026

Info X Reporters

LAHAD DATU: Cubaan menyeludup pelbagai barangan dipercayai dari negara jiran gagal apabila Pasukan Polis Marin (PPM) Lahad Datu berjaya memintas sebuah bot mencurigakan dalam operasi di perairan Pantai Merabung, di sini, tengah malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, juragan bot berkenaan bertindak terjun ke laut sebelum melarikan diri ke kawasan pantai berbatu berhampiran bagi mengelak ditahan pihak berkuasa.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, operasi dijalankan hasil maklumat awam yang diterima mengenai aktiviti penyeludupan di kawasan berkenaan.

Menurutnya, sepasukan anggota PPM yang melakukan rondaan mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan sebelum mengarahkannya berhenti untuk pemeriksaan.

“Bagaimanapun, bot terbabit bertindak melarikan diri sehingga berlaku aksi kejar – mengejar sebelum berjaya dipintas oleh pasukan operasi.

“Ketika pemeriksaan dijalankan, juragan bot bertindak terjun ke laut dan dipercayai meloloskan diri ke kawasan pantai berbatu berhampiran,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan terhadap bot berkenaan menemukan 150 karton rokok pelbagai jenama, dua tong gas, dua unit enjin pam serta lima jeriken kosong berkapasiti 30 liter yang dipercayai diseludup dari negara jiran.

Menurutnya, usaha mengesan suspek segera dijalankan di sekitar kawasan berkenaan namun gagal menemui individu terbabit.

“Kesemua barang rampasan dianggarkan bernilai RM51,910 dan dibawa ke Markas Operasi PPM Lahad Datu untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut peruntukan undang – undang berkaitan dan PPM akan terus mempergiatkan operasi bagi mengekang aktiviti penyeludupan di perairan negeri ini,” katanya. – Info X