Search

Kempen keselamatan kebakaran perkukuh kesiapsiagaan penduduk Petagas

June 15, 2026

Info X Reporters

PUTATAN: Kesedaran terhadap aspek keselamatan kebakaran dalam kalangan masyarakat terus diperkukuhkan menerusi penganjuran Kempen Keselamatan Kebakaran Bomba Komuniti DUN Petagas yang berlangsung di Kampung Petagas, di sini, semalam.

Program yang dihadiri kira-kira 150 penduduk kampung itu dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas, Datuk Awang Ahmad Sah Awang Sahari yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB).

Sebagai usaha meningkatkan kesiapsiagaan komuniti terhadap risiko kebakaran, sebanyak 30 unit alat pemadam api (APA) jenis serbuk kering seberat sembilan kilogram diserahkan kepada ketua-ketua isi rumah yang terpilih.

Turut disediakan dua khemah dan 200 kerusi bagi memastikan kelancaran serta keselesaan peserta sepanjang program berlangsung.

Antara pengisian utama program ialah pendaftaran ahli baharu Bomba Komuniti, demonstrasi penggunaan alat pemadam api serta simulasi pengendalian kebocoran gas melibatkan tong LPG.

Demonstrasi berkenaan memberi pendedahan secara praktikal kepada penduduk mengenai tindakan awal yang perlu diambil ketika berdepan kebakaran atau kecemasan sebelum ketibaan pasukan penyelamat.

Dalam ucapannya, Awang Ahmad Sah berkata, program seumpama itu penting dalam membentuk komuniti yang lebih peka dan bersedia menghadapi sebarang insiden kebakaran.

Katanya, kesedaran masyarakat merupakan benteng pertama dalam mengurangkan risiko kehilangan nyawa dan kerugian harta benda akibat kebakaran.

“Program seperti ini perlu diteruskan dan diperluaskan ke seluruh daerah. Saya juga berharap konsep satu rumah satu alat pemadam api atau 1RAPI dapat dibudayakan dalam kalangan masyarakat sebagai langkah pencegahan awal yang berkesan,” katanya.

Beliau berkata, DUN Petagas turut memperuntukkan lima peratus daripada peruntukan kawasan bagi melaksanakan program berkaitan keselamatan dan pencegahan kebakaran demi kesejahteraan penduduk.

Menurutnya, kempen itu diharap dapat membantu mengurangkan kes kebakaran di kawasan Petagas yang merekodkan enam kes besar sepanjang tahun lalu.

Turut hadir Pegawai Daerah Putatan, Masawi Salleh; Ketua Daerah Putatan, Englebert Jikoni; Community Development Officer (CDO), Jainuddin Badaruddin; Pegawai Bomba Zon 1, PKPgB Riki Ramday; Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Putatan, PPgB Musran Jabri; Ketua Balai Polis Putatan, Inspektor Hafizul Amin serta wakil KSAFE Sdn Bhd yang diwakili Pengarah Urusannya, Khairulanwar Sairin.

Sementara itu, Awang Ahmad Sah turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), kepimpinan kampung serta rakan strategik yang berganding bahu menjayakan program berkenaan. – Info X