Search

Penunggang motosikal maut dirempuh lori selepas keluar simpang

June 15, 2026

Info X Reporters

KOTA BELUD: Seorang penunggang motosikal maut selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Kampung Tembilaung, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang itu, mangsa lelaki berusia 42 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah yang dialaminya.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, siasatan awal mendapati lori jenis Hino yang dipandu lelaki berusia 34 tahun itu sedang dalam perjalanan dari arah Kota Marudu menuju ke Kota Kinabalu.

Menurutnya, setibanya di lokasi kejadian, pemandu lori dipercayai sedang memotong sebuah kenderaan di hadapannya sebelum penunggang motosikal jenis SYM terbabit keluar dari simpang Kampung Tembilaung.

“Akibat jarak yang terlalu dekat, kedua-dua kenderaan gagal mengelak lalu bertembung.

“Impak perlanggaran menyebabkan mangsa tercampak ke atas jalan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Kota Belud,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, pemandu lori terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, motosikal mangsa mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan manakala lori terbabit rosak di bahagian hadapan sebelah kanan.

“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Kota Belud untuk bedah siasat yang dijadualkan esok bagi mengenal pasti punca kematian.

“Polis turut mengambil sampel darah daripada kedua-dua pihak yang terbabit untuk tujuan analisis toksikologi,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua kenderaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud sebelum dihantar ke PUSPAKOM untuk pemeriksaan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Info X