KOTA KINABALU: Bekas Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri Christina Liew menerima penghargaan daripada Persekutuan Pertubuhan Kejuruteraan ASEAN (AFEO) dan Institut Jurutera Malaysia (IEM) atas sumbangan beliau sebelum ini.
Penghargaan itu merangkumi komitmen dedikasi beliau dan sokongan kewangan yang tidak ternilai sepanjang Christina menerajui kementerian demi mengukuhkan kolaborasi kejuruteraan wilayah.
Presiden IEM, Yau Chau Fong, berkata kolaborasi itu dicapai melalui kejayaan penganjuran Persidangan AFEO Ke-42 (CAFEO 42) oleh IEM Sabah di Kota Kinabalu pada 2024.
“Penganugerahan AFEO Honorary Fellow Award (Medal dan Sijil) mencerminkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kepimpinan DSP Liew dan peranan penting bekas kementeriannya dalam mempromosi kejuruteraan wilayah menerusi persidangan antarabangsa yang berprestij ini.
“Penyertaan jurutera dari sembilan negara ASEAN pada CAFEO 42 mengukuhkan lagi kerjasama dan libat urus dalam dunia kejuruteraan di wilayah ASEAN,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas menyampaikan anugerah berprestij kepada Christina pada Ulang Tahun Ke-51 IEM Sabah dan Pemasyuran Pengerusi IEM Sabah yang baharu, Ir Tan Kok Jyh oleh bekas penyandangnya, Datuk Ir Mohd Yaakob Jaafar di Magelan Sutera, Sabtu lalu.
Majlis itu turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Joachim Gunsalam selaku wakil Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Sementara itu, Christina menyatakan terima kasih atas anugerah khas yang diterimanya pada majlis itu.
“Memandangkan kepentingan acara besar ini dari sudut ekonomi dan perspektif promosi pelancongan, yang akan mengukuhkan kedudukan Sabah dalam peta pelancongan ASEAN, saya tidak ragu-ragu untuk menyokong CAFEO 42 dengan peruntukan daripada bekas kementerian saya yang turut menaja persembahan kebudayaan oleh kumpulan tarian Lembaga Kebudayaan Sabah.
“Saya amat berbesar hati dan bersyukur kerana dianugerahkan Anugerah Felo Kehormat AFEO. Saya mendedikasikan penghormatan ini kepada persaudaraan kejuruteraan di AFEO dan IEM dalam mengiktiraf peranan dan sumbangan penting mereka kepada profesion mereka, masyarakat dan negara.
“Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat maju jaya kepada AFEO dan IEM dalam program semasa dan usaha masa depan mereka,” katanya selaku tetamu istimewa pada majlis itu.
Penganugerahan itu dikhaskan kepada individu terhormat yang memberikan perkhidmatan cemerlang kepada profesion kejuruteraan, institusi dan atau mana-mana negara ASEAN.
Tahun lalu, IEM, di bawah presiden Prof Dr Jeffrey Chiang Choong Luin, mencalonkan DSP Liew untuk dianugerahkan Felo Kehormat Persekutuan Pertubuhan Kejuruteraan ASEAN (Hon FAFEO) sebagai menghargai sokongan besar beliau terhadap CAFEO 42.
Pencalonan itu diterima oleh Lembaga Tadbir AFEO pada mesyuaratnya yang diadakan pada 8 Ogos 2025 di Vietnam.
Beliau dijadualkan menghadiri majlis pengurniaan semasa Persidangan Tahunan AFEO ke-43 (CAFEO 43) pada Oktober 2025 di Pusat Konvensyen SMX di Filipina. Bagaimanapun, beliau tidak dapat hadir kerana Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN17). – Info X