Search

RM339.16 juta untuk program SYUKUR tahun ini

June 16, 2026

Info X Reporters

TUARAN: Kerajaan Negeri
meneruskan Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) pada tahun ini dengan peruntukan berjumlah RM339.16 juta sebagai salah satu instrumen utama di bawah agenda pembasmian kemiskinan negeri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata bantuan itu distruktur semula pada tahun ini kepada kadar RM200 sebulan sebagai bantuan pelengkap kepada inisiatif Kerajaan Persekutuan menerusi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) serta bantuan kewangan lain yang tersedia.

“Penstrukturan semula program SYUKUR ini membolehkan jumlah penerima diperluaskan daripada 100,000 penerima pada tahun lalu kepada 140,000 penerima pada tahun ini.

“Ini sekali gus memastikan lebih ramai rakyat Sabah mendapat manfaat daripada bantuan kerajaan ini,” katanya pada majlis pelancaran program Outreach Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) daerah Tuaran di Dewan Sri Sulaman, di sini, pada Selasa.

Katanya, bayaran SYUKUR dibuat secara berfasa dengan setiap fasa dibayar secara ‘lump-sum’ bagi tempoh tiga bulan iaitu sebanyak RM600 yang akan dikreditkan ke akaun bagi yang mempunyai nombor akaun dan kepada penerima bantuan secara tunai.

Pada dasarnya, beliau berkata program SYUKUR mula dibayar kepada penerima yang layak pada 11 Mac 2026 lalu bagi Fasa 1 dan pembayaran Fasa 2 secara dalam talian juga mula dikreditkan ke akaun penerima bermula pada 23 Mei 2026 yang lalu.

“Saya amat berbesar hati untuk memaklumkan bahawa pembayaran SYUKUR Fasa 2 bagi agihan pertama secara tunai akan dibuka bermula 18 Jun 2026 (Khamis) sehingga 23 Jun 2026 (Selasa) kepada penerima yang layak di seluruh negeri melibatkan seramai 17,848 penerima.

“Pembayaran ini melibatkan bantuan sebanyak RM600 secara sekali gus bagi tempoh April hingga Jun 2026.

“Saya berharap bantuan yang diterima ini dapat dimanfaatkan sebaik mungkin bagi memenuhi keperluan asas keluarga, pendidikan anak-anak serta perbelanjaan harian yang semakin mencabar,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata program outreach amat penting untuk memberi ruang kepada kerajaan turun padang mendekati rakyat, memahami cabaran yang dihadapi dan memastikan segala bentuk bantuan dan inisiatif kerajaan sampai kepada golongan yang memerlukan. – Info X