Search

Dua rumah musnah, satu lagi sempat diselamatkan

June 16, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Dua rumah jenis separuh kekal di Kampung Bantayan, Inanam, di sini, dilaporkan musnah selepas terbakar, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, sebuah lagi rumah hanya mengalami kerosakan di bahagian garaj selepas api kebakaran berjaya dikawal pasukan bomba.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Penolong Penguasa Bomba Noor Sherriyana Bohari berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berkenaan pada jam 3.27 petang.

Katanya, sepasukan 20 anggota dan pegawai bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi, kebakaran didapati melibatkan tiga rumah jenis separuh kekal dan tiada mangsa yang dilaporkan terlibat.

“Pasukan Bomba terus bertindak memadam kebakaran menggunakan dua aliran 60 meter dengan tiga pancutan dari sumber air jentera Bomba dan pili bomba berhampiran,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, api berjaya dikawal pada jam 4 petang sebelum berjaya dipadamkam sepenuhnya sejurus selepas itu.

Katanya, pasukan bomba kemudiannya melakukan pemeriksaan bagi memastikan tiada lagi punca api yang boleh mencetuskan kebakaran semula.

“Setelah memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi, operasi ditamatkan pada jam 5.09 petang,” katanya. – Info X