Search

Kebun Sekolah bakal diperluas tahun depan – Jamawi

June 16, 2026

Info X Reporters

TENOM: Selepas Kebun Dapur, program Kebun Sekolah pula bakal diperkenalkan dan diperluaskan mulai tahun depan bagi memupuk kesedaran mengenai keterjaminan makanan dan keusahawanan pertanian dalam kalangan pelajar.

Mengumumkan inisiatif baharu itu, Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri, Datuk Jamawi Jaafar, berkata cadangan itu sudah dikemukakan kepada Jabatan Pendidikan Sabah untuk dilaksanakan melalui kerjasama dengan kementeriannya.

Beliau berkata, beberapa sekolah yang menawarkan mata pelajaran pertanian di Tingkatan Empat juga sudah memulakan inisiatif berkenaan.

“Namun begitu, ada juga sekolah-sekolah yang tidak mempunyai subjek pembelajaran pertanian. Jadi kita minta supaya PIBG bergerak aktif membantu pihak sekolah dan pihak kami akan memberikan khidmat nasihat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sambutan Pesta Kaamatan dan Hari Guru di SM St Anthony, di sini, pada Selasa.

Jamawi yang juga ADUN Melalap berkata, semua pegawai pertanian dan agensi di bawah kementeriannya sudah diarahkan untuk membantu sekolah yang berminat melaksanakan projek kebun sekolah.

“Saya telah mengarahkan semua pegawai pertanian dan juga pegawai agensi di bawah kementerian untuk membantu sekolah.

“Sekiranya ia berjalan secara teratur dan mendapat kerjasama semua pihak, mungkin kita akan gerakkan secara besar-besaran pada tahun hadapan,” katanya.

Jamawi berkata, bagi tahun ini tumpuan diberikan kepada usaha meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pertanian dalam kalangan generasi muda.

Katanya, keterjaminan makanan perlu dipupuk sejak awal supaya pelajar memahami pertanian bukan sahaja sumber makanan tetapi juga satu bidang perniagaan yang berpotensi menjana pendapatan.

“Keterjaminan makanan ini harus bermula daripada peringkat awal supaya anak-anak kita memahami bahawa pertanian adalah satu perniagaan dan memberikan makanan kepada semua orang di sekeliling masyarakat kita,” katanya.

Beliau turut menjelaskan pendekatan kementeriannya yang memberi penekanan kepada kerja lapangan dengan nisbah 60 peratus di lapangan dan 40 peratus di pejabat.

Katanya, pendekatan itu membolehkan pegawai melihat sendiri masalah di lapangan dan menyelesaikannya dengan lebih berkesan.

“Saya mahu memasyarakatkan Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan kepada orang kampung kerana merekalah pengguna dan pengeluar utama hasil pertanian, perikanan serta makanan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata kementeriannya juga sedang bersiap sedia melancarkan platform digital kebundapur.com bagi membantu pengusaha pertanian memasarkan hasil mereka secara terus kepada pengguna.

Katanya, platform itu dijangka mengurangkan peranan orang tengah sekali gus meningkatkan pulangan kepada petani, penternak dan nelayan.

Sebelum ini, Jamawi memperkenalkan inisiatif Kebun Dapur sebagai galakan kepada orang ramai untuk mengusahakan kebun sendiri bagi memenuhi keperluan bahan makanan keluarga atau dijual jika hasilnya banyak.

Dalam acara berasingan, Jamawi merasmikan Mural Tenom Moonsoi Onsoi yang dihasilkan sekumpulan anak muda Tenom yang aktif dalam seni lukis. – Info X