KOTA KINABALU: Kerjasama di antara kerajaan negeri dan Persekutuan dalam sektor pendidikan perlu terus diperkukuh bagi memastikan pelaksanaan dasar serta pembangunan pendidikan di Sabah dapat diselaraskan dengan lebih berkesan.
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk James Ratib, berkata hubungan yang lebih erat di antara kedua-dua pihak penting bagi memastikan perkongsian maklumat berjalan lancar, sekali gus membolehkan pelbagai isu berkaitan pendidikan ditangani dengan lebih cepat dan menyeluruh.
Beliau berkata, penambahbaikan kerjasama itu bukan bermakna hubungan sedia ada tidak memadai, sebaliknya bertujuan memperkukuhkan saluran komunikasi supaya kerajaan negeri sentiasa mendapat maklumat terkini mengenai perkembangan sektor pendidikan, termasuk projek sekolah yang mengalami kelewatan atau terbengkalai.
“Kita mahu kolaborasi antara kerajaan negeri dan Persekutuan dipereratkan lagi supaya segala maklumat dan informasi dapat dikongsi dengan lebih baik. Dengan itu, kerajaan negeri dapat memahami isu yang berlaku dan membantu mencari penyelesaian bersama pihak berkaitan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik (MEKAR) Ke-14 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Selasa.
James berkata, isu seperti projek sekolah terbengkalai memerlukan kerjasama rapat di antara kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan punca masalah dapat dikenal pasti serta diselesaikan dengan segera.
Katanya, kerajaan negeri mempunyai peranan penting dalam membantu melancarkan pelaksanaan projek pembangunan pendidikan memandangkan beberapa aspek pentadbiran dan kawal selia masih berada di bawah bidang kuasa negeri.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya sebarang prosedur atau peraturan yang boleh melambatkan aliran komunikasi antara pegawai di peringkat negeri dan Persekutuan diteliti semula bagi meningkatkan kecekapan penyampaian maklumat.
“Apabila komunikasi lebih lancar, setiap isu yang timbul dapat dikenal pasti lebih awal dan tindakan penyelesaian dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan demi kepentingan sektor pendidikan di Sabah,” katanya. – Info X