LAHAD DATU: Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun dipercayai menjadi mangsa rogol empat lelaki termasuk seorang warga asing dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Batu 1, Jalan Segama, di sini, bulan lalu.
Dalam keiadian kira-kira iam 2 pagi pada 9 Mei lalu, mangsa dikatakan sedang tidur bersendirian di dalam bilik rumah berkenaan sebelum didatangi suspek yang kemudian memaksanya melakukan hubungan seks.
Lebih menyayat hati, mangsa dipercayai dirogol secara bergilir – gilir oleh semua suspek yang berusia lingkungan 20-an.
Difahamkan, kejadian itu bagaimanapun hanya diketahui keluarga mangsa beberapa hari kemudian sebelum laporan polis dibuat.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, susulan laporan diterima, polis menjalankan siasatan dan berjaya menahan tiga lelaki tempatan serta seorang warga asing berusia lingkungan 20-an.
“Semua suspek kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan media, malam ini.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan ibu bapa dan penjaga supaya sentiasa memantau pergaulan serta rakan-rakan anak masing-masing bagi mengelakkan mereka terdedah kepada gejala sosial dan menjadi mangsa jenayah. – Info X