Search

Dua anak jati Papar dinobat Tokoh Maal Hijrah 1448

June 17, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Dua anak jati dari daerah Papar dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah sempena sambutan Maal Hijrah 1448 H / 2026 Masihi di Dewan Sa’adah, Wisma MUIS, di sini, pada Rabu.

Kedua-dua mereka, Datuk Ag Sharin Alimin dan Datuk Masnah Matsalleh, masing-masing dinobatkan Tokoh Maal Hijrah 1448 bagi kategori lelaki dan wanita.

Anugerah disampaikan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman.

Ag Sharin, 73, memiliki Ijazah Sarjana dalam bidang Usuluddin dan Kemasyarakatan Islam serta Diploma Pentadbiran Kehakiman Islam selain mengikuti pengajian dan latihan dalam bidang kaunseling di dalam dan luar negara.

Sepanjang perjalanan kerjayanya, beliau menyumbang secara signifikan kepada pembangunan masyarakat melalui pembinaan dan penambahbaikan kemudahan awam seperti masjid, dewan dan bilik kuliah.

Di peringkat negeri, beliau dikenali sebagai seorang tokoh yang berpengalaman luas dalam pentadbiran awam, penyelarasan antara agensi serta penggubalan dasar yang memberi manfaat kepada rakyat Sabah.

Komitmen beliau terhadap integriti, profesionalisme dan kecemerlangan dalam perkhidmatan awam turut diiktiraf melalui penganugerahan Pingat Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) pada 2001.

Sepanjang perkhidmatannya, beliau pernah berkhidmat di pelbagai jabatan, antaranya di Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Jabatan Ketua Menteri dan Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah.

Sementara itu, Masnah, 65, memperoleh pendidikan awal di Maktab Sabah, sebelum melanjutkan pengajian di Institut Teknologi MARA (ITM), Shah Alam dan meraih Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari Edith Cowan University, Australia.

Sepanjang lebih tiga dekad berkhidmat dalam perkhidmatan awam Negeri Sabah, beliau memegang pelbagai jawatan penting termasuk sebagai Pengarah Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah, Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, serta Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah.

Antara sumbangan besar beliau ialah penubuhan Unit Bantuan Guaman Hal Ehwal Wanita dan memulakan operasi Rumah Perlindungan Wanita Sabah, selain memperkasakan pembangunan modal insan dan tadbir urus pihak berkuasa tempatan di negeri ini.

Ketika pandemik COVID-19, beliau turut memainkan peranan penting sebagai Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Imunisasi COVID-19 Sabah, memastikan pelaksanaan program vaksinasi berjalan lancar di seluruh seluruh negeri.

Beliau kini menyumbang di peringkat nasional sebagai Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia dalam usaha memperkukuh pengurusan dan pembangunan perkhidmatan awam negara.

Beliau dikurniakan beberapa darjah kebesaran negeri, termasuk Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) pada 2019 yang membawa gelaran Datuk. – Info X