KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mungkin bertanding di semua 25 kerusi Parlimen di Sabah pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) yang dijangka tahun depan.
Ia berdasarkan jawapan Ketua Menteri yang juga Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor, yang menjawab ‘InsyaAllah’ apabila ditanya sama ada GRS bertanding 25 kerusi pada sidang media selepas Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi (AMT) GRS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Khamis.
Sebelum itu, beliau mengumumkan pelantikan enam pemimpin tertinggi parti komponen GRS yang juga Timbalan Pengerusi GRS sebagai Pengerusi Zon bagi memantau jentera pilihan raya gabungan itu di semua kawasan Parlimen di Sabah.
Hajiji yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) berkata, pelantikan itu sebagai persediaan GRS menghadapi PRU16 dengan sasaran untuk menang besar pada pilihan raya itu nanti.
“Mesyuarat hari ini kita membincangkan mengenai persiapan kita menghadapi PRU akan datang. Jadi untuk menghadapi PRU ini, kita memperkemaskan jentera parti kita di semua kawasan Parlimen di Sabah.
“Untuk persiapan ini, kita juga melantik enam pengerusi zon di Sabah, tujuannya untuk melaksanakan naziran ataupun maklumat laporan persiapan bahagian mengikut zon dan banyak lagi tugas-tugas yang lain,” katanya.
Beliau berkata, Zon 1 yang merangkumi Parlimen Kudat, Kota Marudu, Kota Belud dan Tuaran akan diketuainya sendiri, manakala Zon 2 yang merangkumi Parlimen Sepanggar, Kota Kinabalu, Putatan dan Penampang diketuai Timbalan Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Masidi Manjun.
Katanya, Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Tan Sri Anifah Aman dilantik mengetuai Zon 3 yang merangkumi Parlimen Papar, Kimanis, Beaufort dan Sipitang, manakala pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam mengetuai Zon 4 yang membabitkan Parlimen Ranau, Keningau, Pensiangan dan Tenom.
Sementara itu, Hajiji berkata Zon 5 yang merangkumi Parlimen Beluran, Kinabatangan, Sandakan, Batu Sapi dan Libaran diketuai Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), Datuk Chin Su Phin, manakala Zon 6 yang merangkumi Parlimen Lahad Datu, Semporna, Tawau dan Kalabakan dipengerusikan Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Tan Sri Liew Yun Fah.
“Semua presiden parti akan mengetuai enam zon ini sebagai persiapan awal untuk menghadapi Pilihan Raya Parlimen, walaupun tempoh Parlimen akan berakhir pada akhir tahun depan, tapi kita di Sabah mesti bersedia.
“Kita menitikberatkan kerjasama, perpaduan di kalangan parti-parti komponen dalam GRS dan juga parti-parti rakan dalam Kerajaan Perpaduan di Sabah. Ini amat penting kerana kita mahu menang besar pada Pilihan Raya Parlimen akan datang,” katanya. – Info X