Search

UPKO komited untuk kukuhkan GRS, bangunkan Sabah – Ewon

June 19, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) akan menyumbang kepada pengukuhan dan pemerkasaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi memimpin, mentadbir dan membangunkan Sabah di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Komitmen itu disuarakan Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick ketika mengulas penerimaan UPKO sebagai parti komponen baharu GRS susulan permohonan parti itu yang dikemukakan pada Mei lalu.

Ewon yang juga Timbalan Ketua Menteri turut mengajak rakyat Sabah untuk bersatu di bawah GRS yang menjadi satu-satunya gabungan parti tempatan di negeri ini.

“Mari semua rakyat Sabah, berpadu kita dalam gabungan parti tempatan kita sendiri – GRS untuk membina wawasan Sabah First, Sabah, Sabah Prosper, Sabah Prosper, Sabah United,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Pada Khamis, Hajiji yang juga Pengerusi GRS mengumumkan persetujuan sebulat suara Majlis Tertinggi GRS untuk menerima UPKO sebagai parti komponen baharu gabungan itu.

Ewon berkata, beliau gembira dapat membawa UPKO ke tempat yang sepatutnya, iaitu dalam gabungan parti-parti tempatan Sabah.

“Saya ucap terima kasih kepada Pengerusi GRS yang juga Ketua Menteri Sabah, YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dan semua anggota Majlis Tertinggi GRS yang menerima keanggotaan UPKO susulan permohonan kami pada 29 Mei 2026 yang lepas.

“Sebagai Presiden UPKO, saya bersukacita dapat membawa UPKO ke tempat yang sepatutnya, iaitu dalam gabungan parti-parti tempatan Sabah.

“Ini mengembalikan semangat asal penubuhan negara Malaysia melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), di mana parti-parti politik Sabah, Sarawak dan Tanah Melayu mempunyai gabungan wilayah masing-masing dan menandatangani perjanjian menubuhkan negara ini,” katanya.

ADUN Kadamaian itu berkata, hanya parti tempatan Sabah yang benar-benar memahami citra Sabah dalam membangun masa depannya melalui apa yang telah dipersetujui dalam MA63.

“GRS adalah satu-satunya gabungan parti tempatan Sabah, maka sepatutnya inilah rumah sebenar parti politik dari Sabah,” katanya.

GRS sebelum ini dianggotai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Cinta Sabah (PCS), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) dan Parti Liberal Demokratik (LDP), menjadikan UPKO anggota keenamnya.

Selain itu, tiga parti sebelum ini meninggalkan GRS iaitu STAR, SAPP dan USNO. – Info X