KOTA KINABALU: Sebanyak 121 sambungan paip air menyalahi undang-undang berjaya dipotong dalam Operasi Bersepadu berskala besar di dua kawasan setinggan sekitar Sepanggar di sini, semalam.
Operasi yang berlangsung dari jam 7 pagi hingga 11 pagi itu dilaksanakan bagi membanteras sambungan paip haram serta mengekang krisis kehilangan air tidak terhasil (Non-Revenue Water, NRW) yang kritikal di Bahagian Kota Kinabalu.
Pengarah Jabatan Air Sabah, Chee Chun Chieh berkata, operasi berkenaan memfokuskan kepada pengesanan, pemotongan dan penguatkuasaan undang-undang terhadap manipulasi sistem bekalan air tanpa kebenaran.
Menurutnya, tindakan bersepadu itu membabitkan kerjasama pelbagai agensi penguatkuasaan kerajaan Persekutuan dan negeri.

“Sebanyak 121 sambungan paip menyalahi undang-undang berjaya dipotong sepanjang operasi dijalankan di dua lokasi setinggan sekitar Sepanggar.
“Operasi ini sebahagian daripada usaha berterusan Jabatan Air Sabah bagi memastikan sistem pengagihan air kekal teratur dan hanya dinikmati pengguna yang sah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, seramai 96 anggota terlibat dalam operasi berkenaan yang menggabungkan 11 kementerian, jabatan, agensi penguatkuasaan serta wakil media.
Antara agensi yang mengambil bahagian ialah Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu bersama Balai Polis Menggatal dan Balai Polis Inanam, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Kementerian Kerja Raya dan Utiliti (KKRU) serta Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP).
Turut serta Pejabat Hal Ehwal Negeri dan Penyelidikan (PHEDNP), Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Jabatan Tanah dan Ukur (JTU), Sabah Electricity, RTM Sabah, YM Media Network, TV3 dan Jabatan Air Sabah selaku penyelaras operasi.

Chee berkata, sambungan paip haram bukan sahaja menyalahi undang-undang malah memberi kesan kepada kecekapan sistem bekalan air serta menyumbang kepada peningkatan kadar NRW.
Katanya, kehilangan air tidak terhasil menjadi antara cabaran utama dalam pengurusan bekalan air kerana ia menjejaskan keupayaan sistem membekalkan air kepada pengguna yang berdaftar.
Sehubungan itu, beliau menegaskan operasi pemantauan dan penguatkuasaan akan diteruskan di kawasan hotspot lain sekitar Bahagian Kota Kinabalu.
“Langkah ini penting bagi memastikan kelangsungan bekalan air bersih kepada pengguna yang sah serta mengurangkan aktiviti penyambungan paip tanpa kebenaran,” katanya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak terlibat dengan sebarang aktiviti penyambungan paip haram kerana tindakan tegas boleh diambil mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa. – Info X