Search

166 PATI warga Filipina dihantar pulang ke negara asal

June 20, 2026

Info X Reporters

LAHAD DATU: Seramai 166 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina dihantar pulang ke negara asal menerusi program pemindahan tahanan yang dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah melalui Pelabuhan Lahad Datu, di sini.

Pemindahan itu membabitkan tahanan dari Depot Imigresen Kota Kinabalu dan Depot Imigresen Sandakan yang dibawa ke Pelabuhan Bongao, Tawi-Tawi, Filipina menggunakan perkhidmatan feri komersial.

JIM menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebook rasminya malam tadi memaklumkan, semua tahanan terbabit terdiri daripada 143 lelaki dewasa, enam wanita dewasa, sembilan kanak-kanak lelaki dan lapan kanak-kanak perempuan berusia antara empat bulan hingga 66 tahun.

Menurut kenyataan itu, kanak-kanak yang menyertai program pemindahan berkenaan turut diiringi ibu bapa atau penjaga masing-masing sepanjang proses penghantaran pulang ke negara asal.

Sebelum ini, pada 16 Jun lalu, JIM Sabah turut melaksanakan pemindahan PATI warga Filipina melalui udara membabitkan 11 tahanan dari Depot Imigresen Kota Kinabalu yang dihantar terus ke Manila menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).

Pada tarikh sama, Depot Imigresen Tawau turut melaksanakan pemindahan sembilan warga China yang terdiri daripada tujuh lelaki dan dua wanita dewasa ke Guangzhou melalui penerbangan terus dari Lapangan Terbang Tawau.

Menurut JIM Sabah, sehingga kini seramai 2,428 tahanan PATI warga Filipina dan 70 warga China daripada keseluruhan 3,625 tahanan warga asing berjaya dipindahkan ke negara asal masing-masing.

Kesemua tahanan yang dipindahkan itu sudah selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang serta memiliki dokumen perjalanan sah yang melayakkan mereka mengikuti proses penghantaran pulang.

JIM Sabah menegaskan pihaknya akan terus mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana majikan yang menggaji atau melindungi warga asing tanpa dokumen yang sah.

Menurutnya, majikan yang didapati melakukan kesalahan boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Imigresen 1959/63 termasuk denda sehingga RM50,000, hukuman penjara dan sebatan bagi kesalahan bersubahat atau melindungi PATI. – Info X