TAWAU: Seorang lelaki berusia lingkungan 50-an ditemui meninggal dunia di kawasan belakang sebuah kedai buku di Batu 3, Jalan Apas, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian itu, Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menerima maklumat berhubung penemuan lelaki terbabit kira-kira jam 2.08 petang sebelum sepasukan polis dikerahkan ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan dan siasatan lanjut.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Wilynton Enchana Watt berkata, setibanya di lokasi, polis menemui seorang lelaki dalam keadaan terbaring di tepi jalan dan tidak sedarkan diri.
Menurutnya, pasukan perubatan yang tiba di lokasi kemudian mengesahkan lelaki berkenaan telah meninggal dunia.
“Pemeriksaan awal mendapati tiada sebarang kecederaan, kesan pergelutan atau unsur jenayah pada tubuh mangsa.
“Pemeriksaan di sekitar lokasi kejadian juga tidak menemukan sebarang petunjuk mencurigakan yang boleh dikaitkan dengan perlakuan jenayah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, identiti mangsa kemudiannya berjaya dikenal pasti oleh ahli keluarga yang hadir membuat pengecaman di Unit Forensik Hospital Tawau.
Katanya, berdasarkan maklumat waris, mangsa mempunyai sejarah penyakit tibi dan asma.
“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Tawau untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.
“Kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR) dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat bagi melengkapkan siasatan,” katanya. – Info X