SEMPORNA: Taktik menyembunyikan minyak diesel bersubsidi di dalam lori yang diubah suai dengan peti ikan bagi mengaburi pihak berkuasa terbongkar selepas diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam Ops Tiris 4.0 di Kampung Simunul, di sini, hari ini.
Dalam operasi kira-kira jam 10.30 pagi itu, sepasukan penguat kuasa KPDN Cawangan Semporna mengesan sebuah lori Mitsubishi berwarna putih yang berada dalam keadaan mencurigakan di kawasan Kampung Ais Box, Simunul.
Ketua Cawangan KPDN Semporna, Satunlucy Lamioh @ Lamidah berkata, seorang lelaki yang dipercayai terbabit dalam kegiatan berkenaan sempat melarikan diri ke kawasan perumahan atas air sebaik menyedari kehadiran pihak penguat kuasa.
Menurutnya, pemeriksaan ke atas lori itu menemukan 12 drum plastik berkapasiti 200 liter, sebuah pam elektrik, hos serta satu drum mengandungi kira-kira 200 liter minyak disyaki diesel.
“Hasil pemeriksaan mendapati lori berkenaan dipercayai digunakan sebagai tempat penyimpanan drum untuk menjalankan aktiviti pemindahan dan penyimpanan minyak diesel bersubsidi secara tidak sah.
“Modus operandi digunakan adalah dengan menyembunyikan drum di dalam lori yang dilengkapi peti ikan sebelum bahan api itu disimpan di kawasan setinggan atas air yang sukar dipantau pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, nilai rampasan minyak diesel dianggarkan RM430, manakala nilai keseluruhan rampasan termasuk lori dan peralatan yang digunakan berjumlah RM25,530.
Katanya, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan individu yang melarikan diri serta mengenal pasti tujuan sebenar penyimpanan bahan api berkenaan.
“Operasi penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi membanteras aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi dan memastikan bekalan yang disediakan kerajaan sampai kepada golongan yang layak,” katanya. – Info X