KINABATANGAN: Seorang lelaki warga asing ditahan selepas didapati memiliki beberapa hidupan liar dan bahagian hidupan liar yang dipercayai dilindungi dalam satu operasi di Kampung Paris 3, di sini, malam tadi.
Dalam operasi kira-kira jam 8.30 malam itu, Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 15 menjalankan pemeriksaan terhadap suspek berusia 27 tahun di pintu masuk Tye Yang Plantation.
Pengarah JHL Sabah, Mohd Soffian Abu Bakar berkata, hasil pemeriksaan menemukan 10 ekor tenggiling hidup yang disimpan dalam jaring, selain dua bungkusan plastik mengandungi sisik tenggiling dengan anggaran berat kira-kira sembilan kilogram.
“Turut ditemukan ialah satu objek yang disyaki gading gajah dan semua barangan berkenaan dirampas untuk tindakan lanjut.
“Suspek yang merupakan warganegara Filipina turut ditahan bagi membantu siasatan mengikut Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, JHL Sabah akan terus memperkukuhkan kerjasama dengan agensi penguat kuasa bagi membanteras aktiviti pemilikan dan perdagangan haram hidupan liar di negeri ini.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah hidupan liar diminta menyalurkannya kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut. – Info X