TAWAU: Usaha mendekati dan membantu usahawan muda menerusi Jelajah Outreach Usahawan Muda diteruskan di Zon Tawau dan Kalabakan, baru-baru ini.
Pemangku Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Azrul Ibrahim, berkata program itu membuktikan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam menyantuni golongan belia dan usahawan muda melalui pelbagai bantuan, inisiatif serta program yang signifikan.
Katanya, keprihatinan kerajaan pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor terhadap pembangunan modal insan dan keusahawanan anak muda itu selaras dengan aspirasi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Ini selaras dengan aspirasi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang menekankan pemerkasaan generasi muda sebagai pemacu kemajuan negeri,” katanya mengulas pelaksanaan program berkenaan dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Jelajah Outreach Usahawan Muda Zon Tawau dan Kalabakan itu disempurnakan Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy.
Turut dihadiri ialah ADUN Tanjung Batu, Datuk Dr Andi Mohd Mohd Sainal dan ADUN Balung, Shamsureezal dan Syed Ahmad Syed Abas.

Azrul berkata, program mendekati usahawan muda di seluruh negeri itu disasar untuk melahirkan usahawan muda berjaya dan berdaya saing.
“Semoga usaha berterusan ini akan melahirkan lebih ramai usahawan muda yang berdaya saing dan mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi Sabah,” katanya. – Info X