KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) Sabah kekal komited menyokong kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan pelaksanaan Agenda Sabah demi pembangunan negeri, kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat negeri ini.
Bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Salleh Said Keruak, berkata sebagai sebahagian daripada Kerajaan negeri, BN Sabah akan terus memainkan peranan secara konstruktif dalam menyokong kepimpinan kerajaan yang diterajui Hajiji.
Katanya, peranan BN dalam kerajaan bukan untuk menjadi parti yang dominan atau mengejar jawatan dan kedudukan, sebaliknya menyumbang ke arah kestabilan politik, menyokong agenda pembangunan kerajaan serta memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati rakyat termasuk ahli parti di peringkat akar umbi.
“Walaupun BN bukan rakan yang setara dalam kerajaan negeri ketika ini, hakikat itu perlu diterima dengan kematangan politik.
“Bagaimanapun, keadaan itu tidak menghalang BN daripada memainkan peranan secara konstruktif sebagai rakan kerajaan yang bertanggungjawab. Apa yang penting ialah Sabah terus maju, ekonomi terus berkembang dan golongan muda diberikan peluang serta masa depan yang lebih cerah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Lahad Datu yang dipimpin Pembantu Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Seri Dr Anil Sandhu di Lahad Datu, pada Sabtu.
Pada masa sama, Dr Salleh menggesa Pemuda UMNO Sabah meletakkan Agenda Sabah sebagai teras perjuangan politik mereka serta mengamalkan pendekatan politik yang sederhana, matang dan berorientasikan penyelesaian.
Beliau berkata, pemimpin muda perlu memberi tumpuan kepada isu yang memberi kesan langsung kepada rakyat, termasuk peluang pekerjaan, pendidikan, pembangunan ekonomi, infrastruktur dan kesejahteraan rakyat Sabah, berbanding terheret dalam pertikaian politik yang tidak membawa manfaat.
Katanya, generasi muda Sabah juga perlu menjadi pendukung kesederhanaan, perpaduan dan pembangunan dengan sentiasa meletakkan kepentingan Sabah mengatasi pertimbangan politik yang sempit. – Info X