KOTA KINABALU: Jambatan konkrit Kampung Tanjung Aru kini dalam keadaan bahaya berikutan kerosakan tiang sokongan akibat hakisan air laut.
ADUN Tanjung Aru, Datuk Junz Wong, berkata keadaan itu sangat membimbangkan keselamatan dan boleh menjejaskan laluan penduduk.
“Saya amat bimbang dengan keadaan Jambatan Konkrit Kampung Tanjung Aru yang kini berada pada tahap yang sangat membahayakan.
“Berdasarkan tinjauan yang saya lakukan bersama penduduk setempat, jelas kelihatan beberapa struktur utama jambatan ini mengalami kerosakan serius, termasuk hakisan pada tiang sokongan, keretakan konkrit dan pendedahan besi tetulang yang semakin teruk akibat hakisan air laut serta faktor usia.
“Jambatan konkrit ini bukan sekadar sebuah kemudahan awam biasa. Ia merupakan laluan penting yang digunakan setiap hari oleh penduduk Kampung Tanjung Aru, nelayan, peniaga kecil dan pengunjung yang berkunjung ke kawasan ini.

“Keadaan semasa jambatan tersebut menunjukkan bahawa risiko kegagalan struktur boleh berlaku pada bila-bila masa sekiranya tindakan segera tidak diambil,” katanya.
Berikutan itu, beliau menggesa kerajaan negeri supaya tidak memandang ringan perkara itu demi keselamatan rakyat yang mesti menjadi keutamaan.
Katanya, kerajaan perlu segera mengarahkan pemeriksaan teknikal menyeluruh dan meluluskan peruntukan kecemasan bagi kerja-kerja pembaikan serta pengukuhan struktur Jambatan Konkrit Kampung Tanjung Aru sebelum sesuatu yang tidak diingini berlaku.

“Apa yang membimbangkan ialah beberapa bahagian struktur sokongan di bawah jambatan sudah menunjukkan tanda-tanda kerosakan yang ketara, termasuk hakisan konkrit dan pendedahan besi yang boleh menjejaskan kekuatan keseluruhan struktur.
“Sekiranya keadaan ini terus dibiarkan, risiko keruntuhan sebahagian atau keseluruhan jambatan tidak boleh diketepikan.
“Kita tidak mahu menunggu sehingga berlaku kemalangan atau kehilangan nyawa sebelum tindakan diambil. Tanggungjawab kerajaan adalah memastikan kemudahan awam berada dalam keadaan selamat untuk digunakan oleh rakyat,” katanya.
Junz juga meminta pihak berkuasa berkaitan mengambil langkah keselamatan sementara dengan segera, termasuk memasang papan amaran, menjalankan pemeriksaan berkala serta mengehadkan penggunaan kawasan yang dikenal pasti berisiko tinggi sehingga kerja-kerja pembaikan dapat dilaksanakan.

Katanya, penduduk Kampung Tanjung Aru sudah lama bergantung kepada jambatan itu sebagai kemudahan utama komuniti.
Jelasnya, penduduk berhak menikmati infrastruktur yang selamat dan terpelihara.
“Oleh itu, saya sekali lagi mendesak kerajaan negeri agar bertindak segera dan mengutamakan peruntukan untuk membaiki Jambatan Konkrit Kampung Tanjung Aru sebelum berlaku tragedi yang tidak dapat diputar balik,” katanya. – Info X