Search

Tindakan tatatertib: Setiap pelajar diberi peluang yang adil – UMS

June 22, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) komited untuk memastikan setiap pelajar diberikan peluang yang adil dan sewajarnya selaras dengan prinsip keadilan, tadbir urus yang baik dan peraturan universiti yang berkuat kuasa.

Menerusi satu kenyataan pada Isnin, UMS menyatakan pihaknya mengambil maklum pelbagai pandangan yang dikemukakan berhubung proses tindakan yang sedang dilaksanakan membabitkan dua pelajarnya.

“Proses tersebut dimulakan berdasarkan maklumat dan laporan yang diterima daripada pihak berkuasa.

“UMS ingin menegaskan bahawa proses yang sedang berjalan ini bertujuan memberi ruang kepada pihak-pihak yang berkaitan untuk mengemukakan penjelasan serta membolehkan universiti meneliti semua fakta dan maklumat yang relevan.

“Universiti komited untuk memastikan setiap pelajar diberikan peluang yang adil dan sewajarnya selaras dengan prinsip keadilan, tadbir urus yang baik dan peraturan universiti yang berkuat kuasa,” katanya.

Menerusi kenyataan itu, UMS menegaskan sebagai institusi pendidikan tinggi awam, ia sentiasa mendukung aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi dalam melahirkan mahasiswa yang berilmu, berfikiran kritis, berintegriti dan bertanggungjawab.

Jelasnya, universiti juga percaya bahawa penglibatan mahasiswa dalam isu-isu masyarakat adalah sebahagian daripada proses pembelajaran dan pembangunan kepimpinan.

“Pada masa yang sama, semua warga universiti mempunyai tanggungjawab untuk menghormati undang-undang, peraturan yang berkuat kuasa serta nilai-nilai yang mendasari keharmonian dan kesejahteraan masyarakat.

“Sehubungan itu, UMS memohon kerjasama semua pihak untuk menghormati proses yang sedang berjalan dan memberi ruang kepada universiti melaksanakan tanggungjawabnya secara profesional, adil dan saksama,” katanya.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim meminta UMS meneliti semula tindakan tatatertib terhadap dua pelajarnya, Fidaa’ Ahmad Fahmi dan Abdul Qayyum yang menerima notis prosiding tatatertib daripada Pejabat Penasihat Undang-Undang UMS.

Ia berikutan pembabitan mereka dalam protes berhubung perobohan rumah di Kampung Asaon, Kudat pada Mei lalu.

Prosiding tatatertib terhadap kedua-dua mahasiswa itu dijadualkan berlangsung pada 9 Julai depan.

Adam Adli turut menyatakan kesediaannya hadir ke UMS sekiranya prosiding berkenaan diteruskan bagi memastikan proses itu berjalan secara adil. – Info X