KOTA KINABALU: Sabah berada di landasan yang betul dalam usaha meningkatkan ekonomi dan menambah peluang pekerjaan sebagai langkah utama untuk menurunkan kadar pengangguran yang sebelum ini pada tahap yang tinggi.
Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri Sabah, Datuk Azrul Ibrahim, berkata sehingga suku pertama tahun ini, kadar pengangguran di negeri ini menurun kepada 5.5 peratus berbanding 6.0 peratus pada suku keempat tahun lalu.
Beliau berkata, angka yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan (DOSM) itu menunjukkan perbezaan yang ketara berbanding kadar pengangguran 8.2 peratus yang direkodkan ketika kemuncak COVID-19 sebelum ini, iaitu kadar pengangguran tertinggi pernah direkodkan di Sabah.
Katanya, penurunan kadar pengangguran kepada 5.5 peratus berdasarkan Laporan Survei Tenaga Buruh Suku Tahun Pertama 2026 yang dikeluarkan DOSM disokong peningkatan bilangan penduduk bekerja kepada 1.78 juta orang berbanding 1.76 juta orang pada suku sebelumnya.
Laporan itu, juga katanya menyatakan bilangan tenaga buruh turut bertambah kepada 1.89 juta orang dengan kadar penyertaan tenaga buruh kekal tinggi pada 70.3 peratus.
“Pencapaian ini selari dengan prestasi sosioekonomi Sabah yang positif sebagaimana dilaporkan oleh DOSM.
“Sentimen perniagaan yang memberangsangkan, prospek ekonomi yang terus menggalakkan serta kapasiti industri yang mencecah 78.7 peratus pada Suku Tahun Pertama 2026 menyumbang kepada pengukuhan pasaran buruh dan pewujudan lebih banyak peluang pekerjaan di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Azrul berkata, apa yang lebih signifikan, Sabah terus merekodkan penurunan kadar pengangguran secara konsisten walaupun pada peringkat nasional berlaku peningkatan kadar pengangguran pada beberapa tempoh tertentu, malah terdapat beberapa negeri lain yang mencatatkan kenaikan kadar pengangguran.
Sebaliknya, beliau berkata walaupun dalam keadaan ekonomi global yang masih mencabar, Sabah berjaya mengekalkan momentum pemulihan pasaran buruh dengan mencatatkan penurunan berterusan, sekali gus membuktikan daya tahan ekonomi negeri serta keberkesanan dasar yang dilaksanakan.
“Sejak mencatatkan kadar pengangguran tertinggi sebanyak 8.2 peratus ketika kemuncak pandemik COVID-19, Sabah telah berjaya menurunkannya kepada hanya 5.5 peratus pada Suku Tahun Pertama 2026.
“Ini bermakna kadar pengangguran negeri telah berkurangan sebanyak 2.7 mata peratusan dalam tempoh beberapa tahun, satu pencapaian yang mencerminkan keberkesanan dasar dan inisiatif Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor dalam memacu pertumbuhan ekonomi yang lebih inklusif dan berorientasikan penciptaan pekerjaan,” katanya.
Antara faktor utama yang menyumbang kepada perkembangan positif itu, katanya ialah kejayaan kerajaan negeri menarik pelaburan domestik dan asing yang membuka peluang pekerjaan baharu dalam pelbagai sektor.
Jelasnya, usaha kerajaan memperkasa sektor perkhidmatan awam negeri bagi meningkatkan kapasiti penyampaian dan menyediakan lebih banyak ruang pekerjaan kepada anak tempatan turut menyumbang kepada perubahan itu.
Katanya, perkembangan positif itu juga disokong menerusi langkah kerajaan memperkenalkan pelbagai inisiatif pekerjaan dan peningkatan pendapatan khusus kepada golongan miskin tegar dan miskin bagi memastikan lebih ramai rakyat dapat menyertai pasaran buruh secara produktif.
“Perkembangan memberangsangkan ini turut diterjemahkan melalui penurunan kadar pengangguran dalam kalangan siswazah daripada 9.4 peratus pada 2020 kepada 7.1 peratus pada 2024.
“Penurunan ini membuktikan bahawa usaha kerajaan negeri untuk menyediakan lebih banyak pekerjaan berkualiti tinggi mula menampakkan hasil.
“Semakin ramai graduan dan anak muda Sabah kini berpeluang memperoleh pekerjaan yang lebih kritikal, setanding dengan kelayakan mereka serta menawarkan gaji yang lebih bermaruah sebagaimana yang diharapkan oleh golongan berpendidikan tinggi,” katanya.
Azrul berkata, kejayaan awal itu dijangka akan terus diperkukuhkan pada masa hadapan menerusi pembangunan taman-taman perindustrian baharu di Sabah, termasuk yang berteraskan ekonomi biru serta industri bernilai tinggi.
Katanya, inisiatif itu dijangka mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan berpendapatan lebih baik dalam sektor maritim, logistik, pemprosesan makanan, tenaga, teknologi dan perkhidmatan profesional, sekali gus menyediakan ruang kerjaya yang lebih luas kepada graduan dan tenaga kerja tempatan.
“Trend penurunan pengangguran yang konsisten ini membuktikan bahawa pertumbuhan ekonomi Sabah di bawah GRS bukan sekadar diterjemahkan dalam bentuk angka, tetapi turut membawa manfaat langsung kepada rakyat melalui peningkatan peluang pekerjaan, pengurangan kadar pengangguran dan peningkatan taraf hidup, khususnya dalam kalangan anak muda dan siswazah selaku aset penting kepada masa depan negeri,” katanya. – Info X