PENAMPANG: Aktiviti memproses air ketum yang dipercayai dilakukan secara senyap di sebuah rumah di Kampung Ulu Seberang, di sini, berakhir apabila seorang wanita diberkas bersama puluhan botol minuman terbabit dalam serbuan polis.
Dalam operasi kira-kira jam 1 petang pada 19 Jun lalu, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang menyerbu rumah berkenaan hasil maklumat dan risikan yang dijalankan.
Serbuan itu membawa kepada penahanan seorang wanita tempatan berusia 43 tahun yang dipercayai terbabit dalam kegiatan memproses dan menjual air ketum.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, pemeriksaan lanjut menemui 30 botol plastik berisi cecair disyaki air ketum serta satu karung plastik mengandungi daun ketum.
Menurutnya, polis turut merampas beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk memproses air ketum.
“Keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM975 dan semua barang kes dibawa ke IPD Penampang untuk siasatan lanjut.
“Suspek turut ditahan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga empat tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Katanya, polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang kegiatan yang menyalahi undang-undang termasuk penyalahgunaan dan pengedaran air ketum.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan dadah atau air ketum diminta menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu usaha membanteras jenayah ini,” katanya. – Info X