Search

Lima nelayan terselamat selepas bot karam dipukul ombak

June 22, 2026

Info X Reporters

SANDAKAN: Lima nelayan berdepan detik cemas apabila bot yang dinaiki karam selepas dipukul ombak besar di perairan berhampiran Pulau Nunuyan, dekat sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, semua mangsa lelaki warga tempatan berusia antara 38 hingga 59 tahun dipercayai sedang dalam perjalanan pulang ke Jeti Nelayan Karamunting selepas keluar memancing sejak jam 6 pagi.

Pengarah Maritim Malaysia Zon Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.15 petang sebelum menggerakkan aset Bot Banggi 44 dan Bot Cenderawasih 4 ke lokasi kejadian untuk operasi menyelamat.

“Hasil tindakan pantas anggota Maritim Malaysia, kesemua mangsa berjaya ditemui dan diselamatkan.

“Semua mangsa selamat dan tidak mengalami kecederaan serius, namun berada dalam keadaan keletihan serta kesejukan sebelum dibawa ke jeti Maritim untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Maritim Malaysia sentiasa bersedia memberi bantuan kepada komuniti maritim yang berdepan sebarang kecemasan di laut.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan pengguna bot supaya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan termasuk memastikan bot berada dalam keadaan baik, membawa peralatan keselamatan mencukupi dan memakai jaket keselamatan sepanjang berada di laut.

“Pengguna bot juga disaran sentiasa memantau keadaan cuaca serta tidak membawa muatan melebihi had yang ditetapkan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya. – Info X