Search

The Male-Efficient dari Sabah harumkan nama negara di festival koir antarabangsa

June 22, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kumpulan koir lelaki dari Sabah, The Male-Efficient, mengharumkan nama negeri dan negara apabila mencatat kejayaan cemerlang pada Sarawak International Choral Festival & Symposium 2026 yang berlangsung di Kuching, Sarawak, dari 19 hingga 21 Jun lalu.

Festival anjuran Kuching Choral Society itu menghimpunkan kira-kira 1,200 peserta dari lima negara iaitu Malaysia, Singapura, Indonesia, Filipina dan Thailand, sekali gus menjadi antara acara koir antarabangsa terbesar di rantau ini.

Sepanjang festival yang diadakan di Kuching Waterfront Hotel dan Voco Hotel by IHG itu, The Male-Efficient bertanding dalam tiga kategori iaitu Equal Voices, Musica Sacra dan Folklore.

Kejayaan paling membanggakan apabila kumpulan berkenaan dinobatkan sebagai juara bagi kategori Equal Voices selepas menampilkan persembahan yang memukau barisan juri antarabangsa.

Selain itu, The Male-Efficient turut mencipta pencapaian membanggakan apabila berjaya mara ke Pusingan Akhir Grand Prix bersama tujuh kumpulan terbaik lain dari Malaysia, Indonesia dan Filipina.

Di bawah bimbingan Konduktor Kenny David Yuntalla serta Pengarah Lesley George, kumpulan itu membawa pulang tiga pingat emas hasil penyertaan dalam ketiga-tiga kategori yang dipertandingkan.

Bagi kategori Musica Sacra, The Male-Efficient meraih Pingat Emas A dengan markah 91.44 peratus, manakala kategori Folklore menyaksikan mereka memperoleh Pingat Emas B dengan markah 86.69 peratus.

Dalam kategori Equal Voices pula, kumpulan itu merangkul Pingat Emas C dengan markah 83.88 peratus selain muncul juara kategori berkenaan.

Kejayaan itu bukan sahaja membuktikan kemampuan bakat seni suara dari Sabah untuk bersaing di peringkat antarabangsa, malah memperkukuhkan kedudukan Malaysia dalam arena koir serantau.

Pencapaian cemerlang The Male-Efficient turut dilihat sebagai satu pengiktirafan terhadap usaha berterusan kumpulan berkenaan dalam memartabatkan seni koir serta memperkenalkan bakat dan budaya Malaysia kepada masyarakat antarabangsa menerusi platform pertandingan berprestij. – Info X