Search

96 warga asing ditahan dalam operasi JIM Sabah

June 22, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seramai 96 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dalam beberapa operasi penguatkuasaan bersepadu yang dijalankan di Kota Kinabalu dan Tawau bagi mengesan serta membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI).

Dalam operasi di Kota Kinabalu, seramai 214 individu diperiksa menerusi Ops Bersepadu bersama Majlis Perbandaran Penampang (MPP), Ops Kutip dan Ops Sapu yang dilaksanakan di beberapa lokasi tumpuan.

JIM Sabah dalam kenyataannya malam tadi berkata, hasil pemeriksaan, seramai 52 warga asing ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan melanggar syarat pas.

“Tangkapan itu membabitkan 16 lelaki dewasa, 20 wanita dewasa, 11 kanak-kanak lelaki dan lima kanak-kanak perempuan warga Filipina.

“Sementara itu di Tawau, operasi bersepadu yang dijalankan bersama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Daerah Tawau menerusi Ops Sapu, Ops Selera dan Ops Mahir memeriksa seramai 120 individu.

“Daripada jumlah itu, 44 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen termasuk tinggal di negara ini tanpa dokumen sah dan melanggar syarat pas yang diberikan,” katanya.

Katanya lagi, mereka yang ditahan terdiri daripada 33 warga Filipina iaitu 31 lelaki dan dua wanita dewasa, manakala 11 lagi adalah warga Indonesia membabitkan enam lelaki serta lima wanita dewasa.

“Semua individu yang ditahan dibawa ke depot tahanan imigresen untuk siasatan dan tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

“Operasi penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi membanteras kehadiran PATI serta memastikan undang-undang imigresen negara terus dipatuhi,” katanya. – Info X