KOTA KINABALU: Sebanyak 13 rumah setinggan haram di kawasan belakang Alamesra, Likas dirobohkan dalam operasi penguatkuasaan terbaru yang dilaksanakan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), 19 Jun lalu.
Operasi bersepadu yang berlangsung dari jam 8 pagi hingga 5 petang itu dijalankan bagi menangani isu pencerobohan tanah kerajaan, pembinaan struktur haram dan pertumbuhan penempatan setinggan yang tidak terkawal di kawasan berkenaan.
DBKK dalam kenyataan hari ini berkata, operasi terbaru itu menjadikan jumlah keseluruhan struktur setinggan yang sudah dirobohkan setakat 19 Jun lalu sebanyak 38 buah rumah.

Menurutnya, kawasan koloni setinggan di belakang Alamesra dikenal pasti sebagai antara lokasi pencerobohan yang berkembang secara tidak terkawal di atas tanah rizab hutan bakau dan kawasan pesisir sungai.
“Keadaan itu menimbulkan pelbagai risiko termasuk aspek keselamatan, kesihatan awam, pencemaran alam sekitar serta ancaman terhadap ekosistem bakau yang menjadi aset semula jadi penting bandar raya ini.
“Hasil bancian mendapati sebanyak 101 rumah dibina di kawasan penempatan mangsa kebakaran Kampung Cenderamata 2, Likas, selain 150 struktur setinggan dikenal pasti di kawasan bakau belakang Alamesra yang sebahagian besarnya didiami penghuni bukan warganegara,” katanya.

Menurut DBKK, notis pengosongan, pengalihan dan perobohan telah diserahkan kepada penghuni terbabit pada 13 April lalu dengan tempoh pematuhan selama 14 hari sebelum tindakan penguatkuasaan dilaksanakan.
Operasi itu dijalankan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan Jabatan Tanah dan Ukur (JTU).
DBKK berkata, sebanyak 112 lagi struktur setinggan telah dikenal pasti untuk tindakan penguatkuasaan seterusnya.

“Tindakan ini bukan semata-mata operasi perobohan, sebaliknya langkah strategik bagi memastikan tanah kerajaan tidak terus diceroboh, memelihara kawasan rizab alam sekitar serta mengurangkan risiko kebakaran dan jenayah.
“Tiada kompromi terhadap mana-mana pihak yang membina, menduduki atau melindungi struktur haram di atas tanah kerajaan dan tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa,” katanya. – Info X