SEMPORNA: Sebanyak 6,850 liter minyak petrol disyaki untuk tujuan penyelewengan dirampas dalam dua operasi berasingan di kawasan perkampungan atas air Kampung Mesra, di sini, hari ini.
Rampasan itu diperoleh hasil pemeriksaan yang dijalankan Pasukan Polis Marin (PPM) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah sebelum diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Semporna untuk tindakan lanjut.
Dalam kes pertama, pihak berkuasa merampas 4,350 liter minyak disyaki petrol yang disimpan dalam 174 jerikin berkapasiti 25 liter setiap satu.
Turut disita dua bot kayu berwarna kelabu, sebuah enjin sangkut 200 kuasa kuda (HP) dan dua enjin sangkut 85HP.
Kes kedua pula membabitkan rampasan 2,500 liter minyak disyaki petrol yang disimpan dalam 100 jerikin berkapasiti 25 liter.
Menurut kenyataan KPDN Sabah, kedua-dua rampasan itu dibuat tanpa sebarang tangkapan selepas tiada individu tampil mengaku memiliki barang berkenaan ketika operasi dijalankan.
“Nilai rampasan barang kawalan dianggarkan sebanyak RM25,482 manakala keseluruhan nilai rampasan termasuk bot dan enjin yang disita berjumlah kira-kira RM52,482.
“Susulan itu, KPDN Cawangan Semporna membuka dua kertas siasatan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 untuk tindakan lanjut,” menurut kenyataan itu semalam.
KPDN berkata, Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) akan terus dipergiatkan bagi mengekang aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi yang boleh menjejaskan bekalan kepada pengguna serta menyebabkan ketirisan subsidi kerajaan.
Menurutnya, pihak yang didapati melanggar peruntukan Akta Kawalan Bekalan 1961 boleh dikenakan tindakan tegas.
Bagi individu, sabitan kesalahan boleh membawa denda sehingga RM1 juta bagi kesalahan pertama dan RM3 juta bagi kesalahan berikutnya atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Sementara itu, syarikat yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM2 juta bagi kesalahan pertama dan RM5 juta bagi kesalahan berikutnya. – Info X