Search

Kanak-kanak hilang dihanyut arus ditemukan meninggal dunia

June 25, 2026

Info X Reporters

PAPAR: Kanak-kanak lelaki yang dilaporkan hilang selepas dipercayai dihanyutkan arus sungai di Kampung Mandalipau, di sini, sejak tiga hari lalu ditemukan meninggal dunia, petang tadi.

Mangsa, Najmal Walki, 8, yang juga bukan warganegara, ditemukan orang awam dalam keadaan tersangkut pada paip pam air di Kampung Manggis kira-kira jam 5 petang.

Penemuan itu kemudian dimaklumkan kepada Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerusi talian NG999 pada jam 5.02 petang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, Ronny Sikawan berkata, sepasukan bomba yang tiba di lokasi mengesahkan penemuan mangsa sebelum bertindak mengangkat mayat dari sungai menggunakan pengusung.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari ketiga bermula jam 10 pagi dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Papar Water Rafting.

“Pasukan penyelamat menjalankan pencarian dari Sungai Papar, Sungai Kabang hingga Sungai Ovai dalam radius kira-kira tiga kilometer menggunakan teknik Water Surface Search dengan bot rafting,” katanya.

Menurutnya, operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.12 petang selepas mangsa berjaya ditemukan.

Terdahulu, mangsa dipercayai tergelincir sebelum dihanyutkan arus ketika bermain di tepi Sungai Kampung Mandalipau pada pagi Selasa.

Operasi SAR yang dilancarkan sejurus selepas kejadian membabitkan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) JBPM bersama beberapa agensi penyelamat dan penduduk kampung, namun mangsa gagal ditemukan sehingga hari ketiga operasi. – Info X