KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor pada Khamis menyampaikan watikah pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN) yang baharu kepada Datuk Zainudin Aman.
Bekas Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri itu secara rasmi mengambil alih tugas daripada Datuk Seri Safar Untong pada 29 Jun ini.
Ketua Menteri menyatakan harapannya agar pelantikan Zainudin akan memastikan perkhidmatan awam negeri terus progresif dan berdaya saing dalam memacu transformasi pentadbiran negeri ke arah kemajuan serta kecemerlangan yang berterusan.
“Ini juga akan memastikan dasar-dasar kerajaan dilaksanakan dengan berkesan demi kemakmuran rakyat dan negeri,” katanya.
Safar, yang bersara pada 28 Jun ini dilantik sebagai Pengerusi Tanjung Aru Eco Development Sdn Bhd (TAED), sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) milik Kerajaan Negeri Sabah.
Sementara itu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pentadbiran), Datuk Norlijah Danin akan menggantikan Zainudin sebagai Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah yang baharu. – Info X