KOTA KINABALU: Dokumen mengandungi catatan luahan emosi Allahyarham Zara Qairina Mahathir yang ditemui selepas kematiannya disahkan ditulis sendiri oleh arwah berdasarkan semakan dibuat pakar tulisan tangan.
Pengesahan itu dibuat pemeriksa dokumen forensik dan pakar tulisan tangan lantikan keluarga ibu Zara,
Dr Linthini Gannetion dalam keterangannya di Mahkamah Koroner, di sini, pada Khamis.
Beliau menyatakan perkara itu ketika ditanya peguam Azhier Farhan Arisin di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan pada prosiding inkues kematian Zara Qairina.
Azhier ialah peguam mewakili empat daripada lima kanak-kanak yang didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak dalam kes berkaitan kematian arwah Zara.
Pertanyaan Azhier merujuk kepada Laporan Autopsi Psikologi yang disediakan Pakar Psikiatri Forensik Perunding, Dr Chua Sze Hung, yang mengenal pasti catatan bertarikh sekitar 17 Jun 2025 dalam jurnal yang ditanda W2.
Katanya, catatan itu antara lain tertulis, ‘mental saya pun nda kuat la, lebih baik saya mati ja dalam dunia ini kalau begitu jalan kehidupan saya’.
Azhier bertanya kepada Dr Linthini sama ada betul bahawa catatan itu adalah tulisan tangan Allahyarham Zara sebelum dijawab betul oleh saksi ke-74 itu.
Dr Linthini turut berkata betul apabila Azhier menyatakan catatan itu adalah tulisan asal Zara memandangkan pakar berkenaan tidak membuat sebarang dakwaan mengenai unsur pengubahan atau gangguan terhadap W2.

Sementara itu, pakar berkenaan menjelaskan bahawa dapatan ‘tiada kesimpulan’ selepas selesai pemeriksaan dokumen yang dijalankan bermaksud beliau tidak dapat membuat pengesahan yang selamat atau muktamad berdasarkan bahan yang tersedia.
Beliau berkata, keadaan itu turut menunjukkan kepentingan mempunyai bahan perbandingan yang mencukupi dan sesuai dalam pemeriksaan tulisan tangan.
Keterangan beliau menekankan kepentingan pemeriksaan tulisan tangan dan dokumen forensik dalam menilai dokumen yang dipertikaikan bagi membantu Koroner menentukan individu yang mungkin menulis sesuatu catatan.
Pemeriksaan dokumen forensik pula, katanya membantu mahkamah memahami keadaan fizikal sesuatu dokumen, asal usul helaian, kemungkinan terdapat halaman yang hilang, pengubahan dokumen dan batasan yang wujud dalam pemeriksaan.
Allahyarham Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asramanya pada awal pagi 16 Julai 2025, sebelum disahkan meninggal dunia akibat kecederaan otak traumatik teruk di Hospital Queen Elizabeth sehari selepas itu.
Selepas kematiannya, timbul persoalan mengenai punca sebenar kematiannya, termasuk sama ada arwah terjun dari tingkat atas bangunan atau ada unsur lain yang memerlukan siasatan lanjut.
Berikutan itu, inkues kematiannya diwujudkan dengan memanggil pelbagai saksi termasuk pelajar, guru, anggota polis, doktor dan pakar perubatan serta pakar lain yang berkaitan bermula pada September 2025.
Inkues itu yang dijadual berlanjutan hingga Oktober depan bertujuan mencari punca kematian arwah berdasarkan keterangan semua saksi yang dipanggil Mahkamah Koroner. – Info X