Search

Suami maut, isteri cedera selepas Hilux terbabas masuk parit

June 28, 2026

Info X Reporters

KINABATANGAN: Seorang lelaki maut, manakala isterinya cedera selepas kereta yang dinaiki terbabas ke parit di tepi jalan Kampung Paris 2, dekat sini, tengah hari tadi.

Mangsa, Salim Dudul, 56, yang memandu kereta pacuan empat roda meninggal dunia dalam kejadian jam 1 tengah hari itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan, Suriyadi Darwis, berkata bomba menerima panggilan pada jam 1.06 tengah hari dan menghantar lima anggota ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 50 kilometer (km) dari balai.

Katanya, kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan dari kenderaan, bagaimanapun pemandu disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang berada di lokasi kejadian.

“Mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Lahad Datu menggunakan kenderaan keluarganya sendiri, manakala mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi ditamatkan pada jam 3.15 petang selepas memastikan tiada lagi bahaya di lokasi,” katanya. – Info X