KOTA KINABALU: Sabah kekurangan kira-kira 25,000 unit darah bagi menampung keperluan darah di semua hospital dan pusat rawatan seluruh negeri setiap tahun.
Data itu dikongsikan Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri, Datuk Azrul Ibrahim ketika menyempurnakan Kempen Derma Darah Peringkat Hospital Queen Elizabeth II, di sini, pada Isnin.
Katanya, secara keseluruhan Sabah memerlukan lebih 100,000 unit darah setahun, namun hanya kira-kira 70,000 unit darah dapat disediakan.
“Berdasarkan rekod semasa, Sabah masih berdepan cabaran kekurangan bekalan darah. Kita memerlukan lebih 100,000 unit darah setiap tahun bagi menampung keperluan hospital dan pusat rawatan di seluruh negeri.
“Namun, jumlah simpanan dan kutipan yang ada ketika ini hanyalah sekitar 70,000 unit sahaja. Ini bermakna Sabah masih berdepan kekurangan hampir 25,000 unit darah setiap tahun,” katanya.

Katanya, setiap titisan darah yang didermakan mampu memberi harapan baharu dan menyelamatkan nyawa mereka yang memerlukan, termasuk mangsa kemalangan, pesakit kanser, ibu bersalin dan pesakit yang menjalani rawatan berterusan.
“Kita menyeru lebih ramai tampil menjadi penderma darah dan menjadikan amalan menderma darah sebagai sebahagian daripada budaya masyarakat penyayang dan prihatin.
“Terima kasih kepada pihak Hospital Queen Elizabeth II, petugas kesihatan, pertubuhan bukan kerajaan, sukarelawan serta semua penderma yang terus komited membantu memastikan bekalan darah di negeri ini sentiasa mencukupi,” katanya. – Info X