Search

Lelaki hilang dipercayai dibaham buaya di Sungai Tagupi

June 29, 2026

Info X Reporters

LAHAD DATU: Seorang lelaki dikhuatiri dibaham buaya selepas dilaporkan hilang dalam kejadian di Sungai Tagupi Darat, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, mangsa yang belum dikenalpasti identitinya dilaporkan masih hilang dan usaha mencari dan menyelamat (SAR) sedang giat dijalankan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.06 tengah hari.

Katanya, maklumat awal, pemanggil yang juga bapa mangsa memaklumkan anaknya dipercayai diserang dan dibaham buaya ketika berada di kawasan sungai berkenaan.

“Susulan laporan yang diterima, sepasukan anggota dan pegawai bersama jentera digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 140 kilometer.

“Pasukan operasi sudah menjalankan siasatan di lokasi bagi mendapatkan maklumat lanjut serta menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR),” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, semalam.

Menurutnya, operasi SAR sedang dijalankan dengan kerjasama agensi berkaitan bagi mengesan mangsa yang dilaporkan hilang.

“Setakat ini, identiti mangsa dan maklumat lanjut mengenai kejadian masih dalam siasatan.

“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan mengelakkan aktiviti di kawasan sungai yang dikenal pasti sebagai habitat buaya, khususnya di kawasan berisiko tinggi.

“Perkembangan lanjut mengenai operasi dan status mangsa akan dikemas kini dari semasa ke semasa oleh pihak berkuasa,” katanya. – Info X