Search

Kanak-kanak maut dipercayai dibaham buaya

June 29, 2026

Info X Reporters

LAHAD DATU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai dibaham buaya ketika berada di sungai di Jalan Dent Heaven, Kampung Tagupi, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, mangsa dipercayai disambar reptilia berkenaan sebelum ditarik ke dasar sungai.

Mayat mangsa kemudian berjaya ditemukan semula oleh ahli keluarga dan orang awam kira-kira jam 2 petang.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, siasatan lanjut mendapati terdapat saksi awam yang juga jiran mangsa melihat sendiri kejadian mangsa ditarik buaya ke dalam sungai.

Pemeriksaan ke atas mayat mangsa mendapati terdapat kesan gigitan buaya pada bahagian belakang badan dan kaki mangsa.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 pada jam 12.06 tengah hari sebelum menggerakkan sepasukan empat anggota bersama sebuah jentera ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 140 kilometer dari balai.

Beliau berkata, bagaimanapun ketika pasukan bomba dalam perjalanan ke lokasi, mangsa sudah berjaya ditemukan oleh pihak polis bersama penduduk kampung sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan. – Info X