KOTA KINABALU: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) diminta menggariskan perancangan ke arah mengurangkan kadar pengangguran di Sabah.
Menyatakan perkara itu, Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah, berkata dalam usaha itu kerajaan negeri melaksanakan pelbagai langkah bagi mendepani isu pengangguran.
Katanya, Kerajaan Negeri melalui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) Sabah sedang giat menjalankan program padanan kerja dan jelajah pendidikan perburuhan di seluruh negeri.
“Ini kerana cabaran utama sekarang adalah jurang antara kemahiran pencari kerja (khususnya belia dan graduan) dengan kehendak industri digital serta industri bernilai tinggi yang sedang berkembang di Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) pada Persidangan Dewan Rakyat di Kuala Lumpur pada Selasa.
Matbali berkata berdasarkan laporan terkini Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang diterbitkan pada Mei/Jun 2026, pasaran buruh di Sabah menunjukkan trend pemulihan yang positif.
Katanya, kadar pengangguran di Sabah bagi Suku Tahun Pertama 2026 turun kepada 5.5 peratus berbanding 6.0 peratus pada Suku Keempat 2025.
“Meskipun kadar ini masih dikira tinggi jika dibandingkan dengan kadar purata nasional (sekitar 2.9 peratus), namun ia adalah penurunan yang agak ketara bagi negeri Sabah dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.
“Misalnya pada tahun 2021 pasca pandemik, kadarnya berada di paras 8.2 peratus, kemudian turun kepada 7.6 peratus pada 2024.
“Pada suku keempat 2025, ia mencatat enam peratus dan pada suku pertama tahun ini turun lagi kepada 5.5 peratus,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyokong penuh RUU Sistem SIP kerana ia menjadi payung tempat berteduh bagi pekerja yang hilang pekerjaan.
Katanya, SIP yang diperkenalkan melalui PERKESO membuktikan bahawa kerajaan tidak membiarkan pekerja yang kehilangan pekerjaan.
Beliau percaya rang undang-undang itu dapat memperkukuh jaringan keselamatan sosial di negara ini. – Info X