KOTA KINABALU: DBKK Holdings Sdn Bhd yang menguruskan parking Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) tampil memberi penjelasan berhubung kegagalan fungsi aplikasi Sabah Smart Parking (SSP) pada Selasa.
Menerusi satu kenyataan dimuat naik di Facebook SSP, DBKK Holdings menjelaskan aplikasi bayaran letak kereta itu mengalami gangguan operasi sementara.
“Sila ambil maklum bahawa aplikasi Sabah Smart Parking (SSP) pada masa ini mengalami gangguan operasi sementara. Sepanjang tempoh ini, beberapa fungsi utama aplikasi tidak dapat diakses atau mengalami gangguan log masuk.
“Ia termasuk pembayaran caj letak kereta digital, semakan dan pembayaran kompaun, pembelian Pas Parkir Bulanan atau Tambah nilai kredit (Top-up), akses perkhidmatan modul iBERSIH dan lain-lain,” katanya.
Berikutan gangguan itu, katanya tindakan penguatkuasaan pengeluaran kompaun tidak akan dilaksanakan sepanjang tempoh berkenaan.
“Pihak kami memohon maaf atas segala kesulitan yang dihadapi oleh pihak tuan/puan. Segala usaha sedang dijalankan bagi memastikan aplikasi dapat beroperasi semula dengan kadar segera,” katanya.
Sebarang pertanyaan lanjut, katanya boleh menghubungi talian 088-270 181 / 270 182 atau HP: 012-7690181 (Pejabat Pengurusan Tempat Letak Kereta DBKK Holdings Tingkat 1, KK Plaza Shopping Complex, Kota Kinabalu). – Info X