KOTA KINABALU: Semua pembelian diesel bersubsidi di Sabah, Sarawak dan Labuan akan menggunakan Mykad sebagai mekanisme baharu menerusi Program BUDI Diesel berkuatkuasa 1 Julai 2026.
Berikutan itu, Ketua Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam, berkata arahan melaksanakan kawalan penjualan diesel ke atas kenderaan pengangkutan darat bertarikh 27 Mac 2026 dibatalkan sepenuhnya.
“Pembatalan arahan mengenai kuantiti jualan 50 liter, 100 liter dan 150 liter ini dibuat susulan pengumuman YAB Perdana Menteri pada 21 Jun 2026 berhubung penyeragaman harga diesel bersubsidi di bawah Program BUDI Diesel kepada RM2.10 seliter.
“Ia juga selaras dengan pelaksanaan mekanisme baharu pembelian diesel bersubsidi menggunakan MyKad di stesen minyak bermula 1 Julai 2026.
“Sehubungan itu, semua pemegang lesen barang kawalan berjadual runcit yang menjual petrol atau diesel di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan adalah diminta mengambil maklum bahawa arahan kawalan penjualan diesel ke atas kenderaan pengangkutan darat tidak lagi berkuat kuasa mulai tarikh itu,” katanya dalam satu kenyataan.
Azman berkata, KPDN yakin mekanisme baharu yang diperkenalkan oleh kerajaan akan memastikan pengagihan diesel bersubsidi dilaksanakan secara lebih bersasar, cekap dan berkesan, di samping memudahkan urusan pengguna yang layak.
“KPDN menyeru semua pihak supaya mematuhi sepenuhnya arahan dan mekanisme baharu yang telah ditetapkan bagi memastikan pelaksanaan berjalan lancar demi kepentingan rakyat dan negara,” katanya.
Menerusi BUDI Diesel, pemilik atau pemandu kenderaan berkuasa diesel perlu menggunakan Mykad bagi membeli bahan api itu pada harga RM2.10 seliter dengan had pembelian sehingga 200 liter sebulan. – Info X