Search

Sabah berperanan penting dalam agenda pemuliharaan biodiversiti global

July 1, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sabah bukan sekadar negeri yang kaya dengan biodiversiti, malah menjadi antara wilayah yang memainkan peranan penting dan menyumbang dalam mencapai agenda pemuliharaan biodiversiti di peringkat global.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata buktinya, Sabah memperluaskan lagi Kawasan Perlindungan Sepenuhnya (TPA) melalui pewartaan 216,000 hektar kawasan baharu membabitkan kawasan hutan simpan komersial dan tanah kerajaan.

Katanya, langkah itu akan meningkatkan keluasan TPA negeri kepada 2.227 juta hektar, bersamaan 30.06 peratus daripada keseluruhan keluasan tanah Sabah, sekali gus menyumbang dalam mencapai Sasaran 3 Kunming Montreal Global Biodiversity Framework.

“Sasaran itu menetapkan menjelang 2030, sekurang-kurangnya 30 peratus kawasan daratan, perairan pedalaman, marin dan pesisir pantai dilindungi dan diurus secara berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan Majlis Anugerah Penyelidikan Biodiversiti Terbaik Sabah 2026 sempena Sambutan Hari Biodiversiti Sedunia peringkat Sabah, di Hotel Hilton, di sini, pada Isnin.

Teks ucapan beliau disampaikan Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya dan Utiliti negeri.

Hajiji berkata, tema Hari Biodiversiti Sedunia tahun ini, ‘Tindakan Lokal, Impak Global’ amat bertepatan dengan perjalanan Sabah dalam membuktikan bahawa tindakan yang dilaksanakan di peringkat tempatan mampu menghasilkan impak yang besar di peringkat antarabangsa.

Ketua Menteri berkata Sabah juga terus menjadi destinasi utama penyelidikan biodiversiti dengan Hutan DaMaI (Danum-Maliau Imbak) yang terdiri daripada tiga kawasan iaitu Kawasan Pemuliharaan Lembah Danum, Kawasan Pemuliharaan Lembangan Maliau dan Kawasan Pemuliharaan Kanyon Imbak menjadi hab penyelidikan biodiversiti bertaraf dunia yang menjadi tumpuan penyelidik tempatan dan antarabangsa.

“Peningkatan permohonan Lesen Akses Sumber Biologi Negeri Sabah di bawah Enakmen Biodiversiti Sabah 2000 juga membuktikan bahawa Sabah diiktiraf sebagai pusat utama bagi penyelidikan biodiversiti di rantau ini.

“Pelbagai penemuan penting melalui penyelidikan, termasuk penemuan spesies dan inovasi baharu, dokumentasi habitat kritikal dan pembangunan pendekatan pemuliharaan adalah hasil daripada penyelidikan yang telah dilaksanakan di Sabah,” katanya.

Satu lagi detik bersejarah, katanya dicipta hasil penyelidikan biodiversiti di Sabah melalui Perjanjian Perkongsian Faedah yang pertama di antara Kerajaan Negeri Sabah bersama Botanickel Sabah Sdn Bhd pada September 2025.

“Projek ini memberi tumpuan kepada kelestarian alam sekitar dan penggunaan sumber secara efisien menggunakan teknologi fitoekstraksi yang inovatif, yang melibatkan penggunaan tumbuhan hiperakumulator dari Sabah untuk mengekstrak logam nikel daripada tanah.

“Ia dijangka memberi impak positif kepada komuniti tempatan melalui peluang pekerjaan, ekonomi dan kontrak pertanian jangka panjang dan integrasi ekopelancongan, selain memberi isyarat kepada penyelidik, pelabur dan industri antarabangsa lain untuk meneroka potensi besar dalam bioekonomi negeri Sabah,” katanya.

Sementara itu, katanya Kerajaan Negeri Sabah akan terus memperkukuh tadbir urus biodiversiti, agenda bioekonomi dan bioteknologi melalui pelaksanaan Pelan Tindakan Bioteknologi Sabah 2024-2034.

Hajiji berkata, pelan tindakan itu menjadi kerangka strategik negeri dalam memanfaatkan kekayaan biodiversiti Sabah secara bertanggungjawab dan berasaskan sains bagi menjana nilai
tambah ekonomi, memperkukuh penyelidikan dan inovasi serta membangunkan industri bioteknologi yang mampan.

“Melalui pelaksanaan pelan tindakan ini, Sabah berhasrat untuk menghubungkan pemuliharaan biodiversiti dengan pembangunan sosioekonomi, di samping memastikan sumber biologi dan pengetahuan tradisi dimanfaatkan secara lestari serta memberikan manfaat yang adil dan saksama kepada rakyat negeri ini,” katanya.

Katanya, tadbir urus biodiversiti juga terus diperkukuh melalui pelbagai inisiatif termasuk pendigitalan sistem pengurusan dan perlindungan pengetahuan tradisi.

Jelasnya, ia bagi memastikan khazanah itu terus terpelihara dan digunakan secara lestari untuk generasi kini dan akan datang.- Info X