Search

3 rumah musnah terbakar di Kampung Melayu Sandakan

July 1, 2026

Info X Reporters

SANDAKAN: Tiga rumah tidak kekal musnah dalam kebakaran di Kampung Melayu Batu 8, di sini, pada awal pagi tadi.

Bagaimanapun, kejadian yang dilaporkan berlaku kira-kira jam 6.17 pagi itu tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung berkata, sepasukan 13 anggota bersama tiga jentera dari BBP Sandakan dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999.

Katanya, pasukan bomba tiba di lokasi kira-kira jam 6.30 pagi, iaitu 13 minit selepas panggilan diterima.

“Sebaik tiba di lokasi, komander operasi melaporkan kebakaran melibatkan tiga rumah jenis tidak kekal berkeluasan masing-masing 20 x 30 kaki, 20 x 30 kaki dan 10 x 15 kaki persegi yang terbakar sepenuhnya.

“Pasukan bomba kemudian menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran dengan dua pancutan sepanjang 200 kaki, menggunakan sumber air daripada jentera bomba,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kebakaran berjaya dikawal pada jam 6.46 pagi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.30 pagi selepas pemeriksaan lanjut mendapati tiada lagi bahaya di lokasi kejadian.

Katanya, tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian berkenaan. Punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan pihak bomba. – Info X