Search

Warisan hantar memorandum kepada KPDN, gesa pengecualian dasar subsidi diesel untuk Sabah

July 1, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pemimpin Parti Warisan hari ini menghantar memorandum kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berhubung pelaksanaan subsidi diesel di Sabah.

Menerusi memorandum yang ditujukan kepada Menteri dan Ketua Pengarah KPDN itu, Warisan menyatakan pendirian tegas terhadap pelaksanaan dasar subsidi diesel sedia ada yang disifatkan tidak sesuai dengan realiti sebenar di negeri ini.

Warisan berpendapat, pelaksanaan dasar subsidi diesel secara menyeluruh tanpa mengambil kira perbezaan geografi, ekonomi dan infrastruktur antara negeri-negeri di Malaysia memberi kesan langsung kepada rakyat Sabah.

Keadaan itu, jelasnya bukan saja membebankan pengguna individu, malah turut menjejaskan kelangsungan sektor perniagaan kecil, pengangkutan, pelancongan, perikanan dan perkhidmatan komuniti yang bergantung sepenuhnya kepada penggunaan diesel.

“Sabah mempunyai jarak perjalanan yang jauh antara satu kawasan dengan yang lain. Dalam banyak kes, perjalanan harian bukan saja melibatkan jarak yang panjang, malah melalui kawasan pedalaman yang memerlukan penggunaan bahan api yang lebih tinggi berbanding kawasan bandar.

“Keadaan infrastruktur jalan raya di Sabah masih tidak seragam dan banyak kawasan masih berada dalam keadaan kurang memuaskan. Faktor ini menyebabkan penggunaan bahan api meningkat kerana kenderaan perlu beroperasi dalam keadaan jalan yang mencabar, termasuk jalan berbukit, tidak rata serta kawasan yang masih dalam pembangunan.

“Rakyat Sabah masih sangat bergantung kepada kenderaan diesel sebagai pengangkutan utama untuk kehidupan harian dan aktiviti ekonomi. Dalam banyak kawasan luar bandar, tiada alternatif pengangkutan yang efisien selain kenderaan sendiri atau bot berenjin diesel.

“Sektor ekonomi seperti perikanan, pelancongan dan pengangkutan komuniti amat bergantung kepada diesel. Sebagai contoh, bot pengangkutan murid sekolah, bot nelayan, serta kenderaan logistik kecil beroperasi setiap hari tanpa henti demi keperluan asas masyarakat,” katanya.

Memorandum itu dikemukakan bersama ADUN Tanjung Aru, Datuk Junz Wong Hong Jun, Azhar Matussin (Darau), Tham Yun Fook (Likas), Edna Majimbun (Inanam), Loi Kok Liang (Api-Api), Samuel Wong Tshun Chuen (Luyang) dan Chin Tek Ming (Kapayan)

Selain di Kota Kinabalu, pemimpin Warisan turut menghantar memorandum yang sama kepada pejabat KPDN di Sandakan diketuai ADUN Elopura, Calvin Chong.

Warisan menjelaskan pelaksanaan had kuota subsidi diesel sebanyak 200 liter sebulan dan sekatan kelayakan yang hanya terhad kepada kenderaan atas nama individu menimbulkan pelbagai kesan negatif.

“Antaranya, membebankan pengguna yang mempunyai keperluan perjalanan tinggi dan menafikan hak kenderaan milik syarikat yang digunakan untuk operasi sah.

“Ia juga menyukarkan pengguna luar bandar yang berkongsi atau meminjam kenderaan dan menjejaskan kelangsungan operasi kecil dan sederhana yang bergantung kepada diesel,” katanya.

Keadaan itu, jelas Warisan menunjukkan dasar sedia ada tidak mengambil kira realiti penggunaan sebenar di Sabah dan secara tidak langsung menimbulkan ketidakseimbangan dalam pelaksanaan bantuan subsidi.

Apa yang lebih penting, katanya Sabah bukan sekadar negeri pengguna tetapi antara penyumbang utama kepada industri minyak dan gas negara. Sumber hasil petroleum dan gas asli yang diperoleh dari Sabah ini telah lama menyumbang kepada pendapatan negara.

“Oleh yang demikian, adalah tidak wajar sekiranya rakyat Sabah terus dibebankan dengan dasar subsidi yang tidak fleksibel dan tidak mengambil kira sumbangan ekonomi negeri ini kepada negara secara keseluruhan.

“Prinsip keadilan dalam pengagihan manfaat negara perlu dilihat secara menyeluruh, bukan sekadar kesamarataan dasar. Dalam konteks ini, Sabah wajar diberikan pertimbangan khas berdasarkan sumbangan, keadaan geografi serta cabaran infrastruktur yang unik,” katanya.

Sehubungan itu, Warisan dengan tegas memohon dan menggesa Kerajaan Persekutuan melalui KPDN menimbangkan beberapa perkara berkaitan pelaksanaan subsidi diesel di Sabah.

Jelasnya, ia termasuk memberikan pengecualian pelaksanaan dasar subsidi diesel bagi negeri Sabah, atau mewujudkan satu skim khas yang berasingan dan lebih sesuai dengan realiti negeri ini.

“Mengiktiraf secara rasmi bahawa Sabah mempunyai keperluan penggunaan bahan api yang lebih tinggi disebabkan faktor geografi, jarak perjalanan dan keadaan jalan yang mencabar.

“Menyemak semula dasar sedia ada yang mengehadkan kelayakan subsidi kepada kenderaan individu saja, kerana ia tidak mencerminkan struktur penggunaan sebenar di Sabah.

“Memberikan perlindungan kepada sektor-sektor kritikal seperti pengangkutan awam luar bandar, perikanan, pelancongan dan perusahaan kecil agar tidak terus terkesan oleh dasar yang tidak fleksibel,” katanya.

Warisan menegaskan isu itu bukan sekadar isu pentadbiran subsidi, tetapi melibatkan keadilan wilayah, kelangsungan ekonomi rakyat serta pengiktirafan terhadap realiti sebenar di Sabah.

“Oleh itu, kami berharap agar tuntutan ini tidak dipandang ringan, sebaliknya diberi perhatian serius dan tindakan segera demi memastikan dasar kerajaan benar-benar bersifat adil, seimbang dan inklusif kepada semua negeri di Malaysia,” katanya. – Info X