KOTA BELUD: Hasrat seorang lelaki untuk menyeberangi sungai bertukar tragedi apabila dia dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus di sungai Kampung Lebak Engad, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang itu, mangsa berusia 21 tahun dilaporkan hilang ketika cuba menyeberangi sungai berkenaan sebelum kejadian disedari orang awam yang kemudian menghubungi pihak berkuasa.
Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan seorang lelaki dipercayai lemas di sungai berkenaan.
“Sejurus menerima maklumat, polis bersama pasukan penyelamat bergegas ke lokasi bagi melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.
“Usaha mengesan mangsa sedang giat dijalankan dengan kerjasama semua agensi berkaitan dan penduduk kampung,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud menerima panggilan kecemasan pada jam 1.18 petang sebelum menggerakkan lapan anggota bersama jentera dan EMRS ke lokasi.
Setibanya di lokasi, pasukan bomba menjalankan penilaian awal dan mendapatkan maklumat daripada saksi sebelum memulakan operasi SAR.
Operasi SAR diteruskan bersama polis serta penduduk kampung dengan tumpuan di lokasi mangsa dipercayai hilang. – Info X