KINABATANGAN: Seorang pemandu lori maut selepas tersepit di bawah bahagian kepala lori dalam kemalangan membabitkan sebuah lori lapan tan yang dipercayai terbabas sendiri di Kampung Paris 2, di sini awal pagi tadi.
Mangsa berusia 48 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas berjaya dikeluarkan pasukan bomba dengan bantuan sebuah jentera jengkaut yang digunakan bagi mengangkat bahagian hadapan lori yang menghempapnya.
Seorang lagi mangsa berusia 43 tahun cedera selepas berjaya dikeluarkan daripada kenderaan oleh pasukan bomba sebelum diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Penolong Penguasa Bomba Suriyadi Darwis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.16 pagi sebelum menggerakkan enam anggota ke lokasi yang terletak kira-kira 40 kilometer dari balai.
Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi pada jam 5.40 pagi, pasukan bomba mendapati lori lapan tan itu dipercayai terbabas sendiri dengan kedua-dua mangsa tersepit di dalam kenderaan.
“Pasukan bomba berjaya mengeluarkan mangsa yang cedera terlebih dahulu sebelum menjalankan operasi menyelamat seorang lagi mangsa yang tersepit di bawah bahagian kepala lori.

“Operasi mengeluarkan mangsa dijalankan menggunakan peralatan khas dengan bantuan sebuah jentera jengkaut bagi mengangkat bahagian hadapan lori.
“Mangsa berjaya dikeluarkan namun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai KKM sebelum mayatnya diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.30 pagi selepas keadaan di lokasi dipastikan selamat. – Info X