Search

PENDIDIKAN KEKAL AGENDA UTAMA SABAH PACU PEMBANGUNAN

July 26, 2022

admin

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor menyatakan aspek pendidikan serta modal insan sentiasa menjadi antara agenda utama ditekankan kerajaan negeri dalam memacu pembangunan Sabah.

Beliau berkata, modal insan yang cemerlang dan berkualiti penting dalam menjayakan pelbagai dasar, agenda serta program pembangunan kerajaan seterusnya memacu kemajuan negeri ke tahap lebih tinggi.

“Sabah memerlukan kepelbagaian dari segi modal insan bagi melonjakkan lagi pertumbuhan ekonomi negeri, sejajar dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Oleh itu, pembangunan modal insan di negeri ini tidak akan tertumpu dalam satu-satu bidang tertentu sahaja kerana kita memerlukan kepakaran berkemahiran tinggi dalam bidang-bidang lain,” katanya.

Hajiji berkata demikian sempena Majlis Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah (ABCNS) siri ke-33 di Auditorium Tun Ahmad Raffae Menara Tun Mustapha, di sini, hari ini.

Seramai 40 pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi tahun 2021 terpilih menerima anugerah terbabit.

Dalam pada itu, Hajiji meminta semua penerima ABCNS agar memanfaatkan peluang keemasan diberikan untuk meningkatkan tahap penguasaan ilmu, khususnya yang berkaitan dengan kreativiti dan inovasi untuk menjadi sebahagian pemangkin matlamat kerajaan begeri.

Katanya, sebagai pelapis masa depan negeri, ilmu yang diperoleh pelajar cemerlang akan dapat membantu membangunkan negeri.

Mengulas lanjut, Hajiji memaklumkan kerajaan negeri juga akan memastikan anak-anak Sabah tidak tercicir atau lketinggalan dalam bidang pendidikan demi menjamin masa depan mereka.

“Oleh itu, kerajaan negeri melalui Pelan Pembangunan SMJ sudah memperkenalkan beberapa pakej insentif bagi membolehkan mereka meneruskan pengajian.

“Pelaksanaan pakej insentif berkenaan dijalankan melalui program bantuan pendidikan yang telah dilaksanakan
dengan peruntukan berjumlah RM24 juta pada tahun 2021 seperti Program Bantuan Institusi Pengajian Tinggi, Program Bantuan Ihsan Komputer (BAIK), Program Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI) dan Program Bantuan Wang Pendaftaran IPT (BUDI),” katanya. – Info X