KOTA KINABALU: Sebuah kilang membuat roti di Kolombong, di sini, hampir musnah selepas terbakar, tengah hari tadi.
Kejadian kira-kira jam 11 pagi itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kecederaan ataupun kemalangan jiwa.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Noor Sherriyana Bohari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 11.14 pagi.
Katanya, sepasukan anggota dan pegawai bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah ke lokasi kejadian.
“Kebakaran melibatkan sebuah kilang memproses roti yang terletak di tingkat 1 sebuah bangunan 3 tingkat yang terbakar sehingga 80 peratus.
“Pasukan bomba terus bertindak menjalankan operasi pemadaman menggunakan tiga aliran sepanjang 60 meter dengan lima pancutan dari sumber air daripada jentera dan pili bomba berhampiran,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, api berjaya dikawal pada jam 12.16 tengah hari dan tiada sebarang mangsa dilaporkan terlibat.
“Pasukan bomba terus melakukan pemeriksaan akhir bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.30 petang,” katanya. – Info X