Search

Perdana Park Tanjung Aru dibuka semula mulai Sabtu

July 3, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Perdana Park Tanjung Aru, di sini, akan dibuka semula kepada orang awam untuk melakukan aktiviti rekreasi bermula pada Sabtu, 4 Julai 2026.

Taman yang popular sebagai lokasi joging warga bandar raya itu sebelum ini ditutup sejak Disember 2024 selepas insiden serangan memerang.

Pada Khamis, Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr Sabin Samitah, mengetuai Walkabout Pra Pembukaan taman berkenaan sebagai persediaan menjelang pembukaan semulanya.

Bahagian Pengurusan Media dan Perhubungan Awam DBKK dalam satu kenyataan, berkata sesi walkabout itu bertujuan meninjau tahap kesiapsiagaan serta memastikan kemudahan asas dan persekitaran taman berada dalam keadaan selamat, bersih dan selesa untuk menerima kehadiran pengunjung.

Katanya, pembukaan semula itu dibuat susulan penyerahan rasmi pengurusan Perdana Park Tanjung Aru oleh Kementerian Kewangan Negeri kepada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) pada 29 Jun 2026.

“Perdana Park Tanjung Aru akan beroperasi setiap hari bermula jam 7 pagi hingga 7 malam. Bagi memastikan kawalan dan keselamatan fasiliti taman, pintu pagar akan ditutup selepas waktu operasi dan orang awam tidak dibenarkan berada di kawasan taman.

“Buat masa ini, caj tempat letak kereta adalah percuma sehingga sistem pembayaran tempat letak kereta digital dilaksanakan,” katanya.

Bagaimanapun katanya, beberapa kawasan masih ditutup sepenuhnya kepada orang awam kerana masih berada dalam fasa penilaian keselamatan.

Katanya, kawasan yang terlibat ialah air pancut berirama, air pancut interaktif, alat permainan kanak-kanak bersebelahan pejabat operasi serta sistem dispenser air.

“Orang awam dilarang memasuki kawasan tersebut dan DBKK tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kemalangan atau kecederaan akibat pelanggaran larangan berkenaan.

“DBKK akan melaksanakan kerja-kerja naik taraf secara berperingkat bagi meningkatkan keselesaan dan keselamatan pengunjung.

“Pengunjung juga dinasihatkan supaya berhati-hati ketika menggunakan kemudahan taman, khususnya trek joging sintetik dan kawasan permainan kanak-kanak, yang mungkin berada dalam keadaan licin semasa hujan,” katanya.

Selain itu, katanya orang awam diminta untuk sentiasa mematuhi peraturan dan larangan taman, antaranya menjaga kebersihan dan tidak membuang sampah merata-rata tempat, mematuhi arahan dan papan tanda peraturan taman dan arahan Pegawai DBKK yang bertugas.

Pengunjung turut dilarang memetik tanaman atau bunga, merokok atau menyalakan api, merosakkan harta benda taman, membuat bising, membawa binatang peliharaan dan memasang sepanduk

“Aktiviti memancing, mandi-manda, barbeku, berkhemah dan menjaja adalah tidak dibenarkan. Sebarang penganjuran aktiviti atau program yang ingin dianjurkan di kawasan taman hendaklah mendapat kelulusan DBKK terlebih dahulu.

“DBKK menyeru kepada orang ramai untuk sentiasa mengamalkan sikap bertanggungjawab dengan menjaga kebersihan, mematuhi arahan serta bersama-sama memastikan kemudahan awam di taman ini sentiasa berada dalam keadaan baik untuk kegunaan bersama,” katanya. – Info X