Search

Kanak-kanak melecur, rumah dan dua kenderaan terbakar

July 4, 2026

Info X Reporters

KUNAK: Seorang kanak-kanak lelaki cedera melecur di kaki kiri selepas sebuah rumah jenis tidak kekal terbakar dalam kejadian di Kampung Kasnuri di sini, malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kunak, Mohamad Omarbatha berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 8.20 malam.

Katanya, sepasukan sembilan anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), sebuah Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dan sebuah kenderaan utiliti digerakkan ke lokasi dan tiba enam minit kemudian.

“Hasil pemeriksaan mendapati kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis tidak kekal berukuran 20 kaki x 30 kaki yang musnah sepenuhnya.

“Kebakaran turut memusnahkan sebuah kereta jenis Perodua Kancil dan sebuah motosikal, masing-masing terbakar 100 peratus,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, seorang mangsa iaitu kanak-kanak lelaki mengalami kecederaan melecur di kaki kiri dan diberikan rawatan awal oleh pasukan bomba di lokasi kejadian.

Menurutnya, operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang 200 kaki dengan dua pancutan menggunakan sumber air daripada tangki jentera bomba.

“Api berjaya dikawal pada jam 9 malam sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.17 malam selepas pasukan bomba memastikan tiada lagi risiko kebakaran semula.

“Punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya. – Info X