Search

Projek pembangunan bercampur di Tuaran, ladang tenusu di Keningau bakal lonjak ekonomi Sabah

July 9, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Dua projek berskala besar bakal dibangunkan di Tuaran dan Keningau, masing-masing membabitkan pembangunan bercampur dan industri tenusu yang disasar mampu membantu Sabah ke arah mencapai pendapatan RM120 bilion setahun.

Cadangan pelaksanaan projek itu masing-masing dibuat menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai di antara Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) dan KTI Sdn Bhd di Tuaran, manakala LIGS bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Sabah dan Farm Fresh Berhad di Keningau.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri, Datuk Jamawi Jaafar, berkata dua MoU itu dijangka menjadi pemangkin baharu kepada pembangunan ekonomi Sabah, selaras aspirasi Halatuju Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0) yang menyasarkan peningkatan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) daripada RM85 bilion ketika ini kepada RM120 bilion setahun.

Beliau berkata, sasaran itu memerlukan usaha bersepadu melibatkan kerajaan, sektor swasta, agensi berkanun dan rakyat Sabah, selain mempercepatkan kepelbagaian ekonomi daripada pergantungan kepada sumber asli kepada industri bernilai tambah tinggi.

“Ini bukan sekadar angka di atas kertas tetapi satu wawasan besar yang memerlukan usaha bersepadu daripada kerajaan, sektor swasta, agensi berkanun dan rakyat Sabah seluruhnya.

“Untuk mencapai sasaran itu, kita perlu mempercepatkan kepelbagaian ekonomi negeri daripada pergantungan tradisional terhadap sumber asli kepada industri bernilai tambah tinggi seperti pembangunan hartanah bercampur, perindustrian serta pertanian moden termasuk industri tenusu,” katanya pada Majlis Menandatangani MoU, di sini, pada Khamis.

MoU di antara LIGS dan KTI Sdn Bhd membabitkan cadangan projek pembangunan bercampur seluas 500 ekar di Tuaran yang merangkumi pembinaan lot kedai, rumah teres, apartmen dan kawasan perindustrian.

Jamawi berkata, cadangan itu mempunyai potensi besar sejajar dengan kedudukan strategik Tuaran sebagai laluan utama untuk ke utara dan pantai timur negeri ini.

“Saya amat menyokong cadangan ini kerana kedudukan strategik Tuaran sebagai laluan utama ke utara dan pantai timur Sabah menjadikannya berpotensi besar sebagai pusat persinggahan dan pertumbuhan ekonomi baharu, terutamanya bagi sektor pelancongan dan perkhidmatan,” katanya.

Sementara itu, MoU kedua yang membabitkan kerjasama di antara LIGS, DVS Sabah dan Farm Fresh adalah untuk meneroka pembangunan ladang tenusu komersial berskala besar menerusi projek Keningau Dairy Valley.

Jamawi berkata, projek berkenaan bakal membawa pelaburan swasta dan kepakaran teknikal untuk memperkukuh industri tenusu tempatan, meningkatkan kadar sara diri pengeluaran susu segar, daging dan produk tenusu serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan latihan kepada penternak serta rakyat Sabah.

Beliau berkata, walaupun kedua-dua MoU itu masih di peringkat tanda hasrat dan belum menjadi komitmen muktamad, ia adalah langkah awal yang penting ke arah pelaksanaan projek berimpak tinggi kepada negeri.

“Jika direalisasikan dengan jayanya, ia bukan saja akan merancakkan ekonomi di peringkat daerah iaitu Tuaran dan Keningau, malah turut menyumbang secara signifikan ke arah sasaran besar SMJ 2.0 untuk mencapauli KDNK RM120 bilion setahun.

“Ini membuktikan bahawa Sabah bukan sahaja kaya dengan sumber semula jadi, tetapi juga semakin matang dalam menarik pelaburan strategik yang pelbagai daripada hartanah dan perindustrian sehinggalah pertanian dan ternakan moden,” katanya.

Jamawi turut meminta KTI supaya memulakan kajian kesesuaian pembangunan di lapangan dengan segera dan membentangkan hasil kajian serta nilai pelaburan kepada Kerajaan Negeri dalam masa terdekat.

Beliau juga menggesa LIGS memastikan proses kerja di lapangan berjalan lancar, teratur dan telus, manakala Farm Fresh serta DVS Sabah diminta mempercepatkan proses pemuktamadan kerjasama dengan mengambil kira kepentingan penternak tempatan, kelestarian alam sekitar dan kebajikan haiwan.

“Kerjasama ini diharap dapat menjadikan Sabah sebagai peneraju baharu industri tenusu negara,” katanya.

Jamawi berkata, kedua-dua MoU itu melambangkan semangat Sabah Maju Jaya sebagai negeri yang terbuka kepada pelaburan dan sentiasa meneroka peluang baharu demi kesejahteraan rakyat.

“Saya yakin dengan kerjasama erat antara kerajaan, agensi dan sektor swasta, wawasan besar yang kita tetapkan bersama bukan lagi sekadar impian, tetapi satu realiti yang semakin hampir untuk kita kecapi bersama,” katanya. – Info X